Selebriti

“Cinta saya yang tak terbalas” – Syura respon pengakuan Zaki Jinggo

- Diterbit 4 Mei 2023 1:11 AM MYT

“CINTA saya yang tak terbalas gais. Sampai hati Abang beritahu satu Malaysia,” tulis penyanyi Syura dengan nada bergurau dalam hantaran Instagramnya.

Baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah video menyaksikan seorang lelaki dikenali sebagai Zaki Jinggo dari Kuantan, Pahang yang bercerita tentang sejarah percintaannya dengan penyanyi, Syura Badron.

Susulan itu, Syura mengakui, dia ada menerima kiriman video tersebut daripada beberapa kenalan dan sudah menontonnya.

“Mula-mula tu memang saya terkejut apabila mendengar cerita yang disampaikan lelaki itu.

“Saya siap cakap dalam hati, siapa mamat ni tiba-tiba mengaku pernah bercinta dengan aku? Kenal pun tak.

“Tetapi selepas habis mendengar perbualannya, teringat suatu masa dahulu pada 2001 ketika lagu Kasih Tidak Terjamah menjadi siulan, saya pernah mengadakan persembahan di Kuantan.

“Pada masa itu, saya ada mengajak seorang peminat naik ke pentas untuk menyanyi bersama saya.

“Mungkin Abang Zaki ini adalah peminat itu berdasarkan cerita yang didedahkan dalam video tersebut,” jelas Syura yang baru sahaja tamat berpantang selepas melahirkan anak pada Mac lalu.

Tambah Syura, lelaki berkenaan agak dikenali di Kuantan memandangkan personalitinya yang ramah dan sering hadir ke acara-acara hiburan terutamanya melibatkan persembahan nyanyian.

“Saya ada terbaca beberapa komen di entri video itu dan ramai cakap, Abang Zaki ini memang selalu kelihatan di sana.

“Ada yang kata dia suka menyanyi dan mengikut komen individu lain, mereka mendakwa Abang Zaki ni ‘tak sihat’.

“Jadi saya fahamlah apa yang warganet maksudkan dan anggap pendedahan Abang Zaki sebagai hiburan kerana ia melucukan.

“Saya pun ada tunjuk video ini kepada suami, dia pun ketawa mendengar ceritanya.

“Apapun, saya minta maaf kepada Abang Zaki kerana ‘kenakalan’ saya semasa berumur 15 tahun ketika itu membuatkannya teringat-ingat hingga sekarang,” ujar Syura.

Sebagai info, lagu Kasih Tidak Terjamah adalah debut kemunculan Syura di persada muzik tanah air pada September 2000 yang dimuatkan dalam album Aroma dan kekal hit sehingga ke hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas