Berita

Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah untuk lepaskan warga asing di KLIA2

|
- Diterbit 12 Januari 2021 6:41 AM MYT

SEORANG pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,000 bagi melepaskan dua warga asing melalui kaunter Imigresen, di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tahun lalu.

Yusrazif Wan Yusoh, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa sebagai pegawai Imigresen Gred KP32 telah menerima rasuah berjumlah RM15,000 dalam lima transaksi berbeza daripada dua individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh, melibatkan pelepasan seorang warga Filipina dan empat warga China.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank Berhad cawangan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya antara 28 Okt hingga 16 Nov 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan ikat jamin RM100,000 bagi kelima-lima pertuduhan terhadap tertuduh, termasuk syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, Yusrazif yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan, atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan masih menyara empat anaknya yang masih kecil.

Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 18 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Yusrazif turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima RM215,990 daripada seorang individu, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di bank sama (Alliance Islamic Bank) antara 27 Feb 2019 dan 13 Nov 2020 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin dengan mengguna pakai jumlah wang jaminan yang sama dengan lima pertuduhan terdahulu (RM55,000) dan menetapkan tarikh sama (18 Feb) bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan 65 individu terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, 17 ejen dan sembilan orang awam ditahan menerusi Op Selat, berkaitan kes pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.

Op Selat merupakan operasi yang digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen bagi membanteras sindiket rasuah dalam pemalsuan cap kemasukan, bagi melintasi sempadan negara. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas