Berita

Bayi dua bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

- Diterbit 12 Januari 2021 6:38 AM MYT

SEORANG bayi perempuan berusia dua bulan ditemukan oleh pengasuhnya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Gombak, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata berdasarkan maklumat awal, bayi itu dihantar oleh ibu bapanya ke rumah pengasuh berkenaan di sebuah pangsapuri di Gombak pada 8 pagi.

Menurut Arifai, pengasuhnya mendakwa bayi itu kemudian diberikan susu sebelum ditidurkan, namun pada kira-kira 11.45 pagi wanita tersebut mendapati bayi berkenaan tidak memberi respons ketika digerakkan.

“Berikutan itu, pengasuh berusia 43 tahun tersebut dan suaminya bergegas membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik berdekatan di Jalan Prima Gombak di sini, dan doktor klinik berkenaan mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya polis menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira 1 tengah hari dan pemeriksaan awal pihaknya tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada badan bayi itu.

“Bayi itu merupakan anak pertama pasangan suami isteri, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun yang bekerja sebagai operator kren dan pembantu tadbir.

“Mereka tinggal berjiran dengan pengasuh di pangsapuri itu,” katanya, menambah  kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Selain bayi berkenaan, pengasuh itu turut menjaga lima bayi lain dengan dibantu oleh adiknya yang berumur 22 tahun.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas