Berita

OKU: Tiada pengecualian dalam semua aspek, aspirasi kerajaan PN

|
- Diterbit 23 Disember 2020 2:09 AM MYT

WALAUPUN negara berdepan situasi sukar sepanjang 2020 ekoran penularan pandemik COVID-19, pembelaan dan kebajikan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang terdiri daripada 10 peratus penduduk Malaysia tidak diabaikan sebagaimana golongan lain.

Pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Mengambil kira pemberian bantuan secara inklusif meliputi golongan OKU yang turut terkesan akibat wabak itu, Muhyiddin baru-baru ini mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan RM1,000.

Beliau turut memberi jaminan agar cadangan tersebut dilaksanakan segera dalam usaha memastikan golongan itu mempunyai hak dan peluang sama rata menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

Muhyiddin juga dipetik sebagai berkata golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian serta aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

Menerusi Belanjawan 2021, beberapa inisiatif bagi memperkasa golongan OKU diperkenalkan, antaranya kenaikan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja (RM250 ke RM300), kadar elaun pekerja OKU (RM400 ke RM450), bantuan penjagaan OKU (RM350 ke RM500) dan program khidmat bantu di rumah (RM400 maksimum untuk sukarelawan).

Selain aspek kebajikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini turut mengumumkan akan menubuhkan Unit Komunikasi OKU bagi meningkatkan fasilitasi komunikasi dua hala antara kerajaan dan golongan berkenaan.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata unit yang ditubuhkan bersempena sambutan Hari OKU pada 3 Dis lepas akan diketuai seseorang daripada kalangan OKU.

Pelbagai inisiatif yang diaspirasikan pemimpin itu dilihat mampu memperkasakan 581,265 OKU mendaftar dengan JKM sekali gus membuktikan komuniti OKU mampu memberi impak signifikan dalam masyarakat.

Sementara itu, Presiden OKU Sentral Senator Ras Adiba Radzi berkata masih terdapat kira-kira 4.7 juta OKU yang belum berdaftar dan beliau mencadangkan agar kempen mendaftar OKU dipergiat supaya golongan ini serta ahli keluarga mereka dapat tampil mendaftar dengan JKM.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga mencadangkan supaya Akta OKU 2008 sedia ada dipinda agar lebih menyeluruh, memenuhi tanggungjawab Malaysia dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya serta mekanisme penguatkuasaan dipertingkatkan.

“Akta itu masih diperhalusi di peringkat dasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Insya-Allah tahun depan akan dikuatkuasakan supaya golongan OKU memiliki ‘taring’ bagi mencapai kehidupan yang lebih baik dan sempurna,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ras Adiba yang juga bergiat aktif menyantuni golongan kurang bernasib baik tidak akan meninggalkan aktiviti kemasyarakatan itu lebih-lebih lagi ketika komuniti OKU bergelut dengan situasi mencabar pandemik COVID-19.

Mengenai penglibatan golongan OKU dalam kerjaya pula, seramai 1,397 OKU mendapat pekerjaan melalui Job Coach, manakala Jabatan Perkhidmatan Awam pada Disember lepas merekodkan 4,202 OKU berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam dan Kementerian Sumber Manusia pula merekodkan sehingga Jun 2020 terdapat 15,326 OKU berkhidmat di sektor swasta.

Statistik tersebut menjadi signifikan sumbangan golongan OKU yang turut mengambil bahagian dan tidak ketinggalan meningkatkan tahap kehidupan serta ekonomi masing-masing.

Selain itu, golongan OKU turut diiktiraf melalui sambutan Hari OKU Sedunia yang mula diraikan di Malaysia pada 1981 sebagai sambutan Orang Cacat Antarabangsa, bersama negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sempena Hari OKU  peringkat kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Membina Kesejahteraan OKU: Mendepani Perubahan’, Bernama menganjurkan ‘Mini Konsert Dari Jauh’ secara maya menerusi laman Facebook Bernama TV hasil kolaborasi dengan OKU Sentral, menampilkan persembahan tarian serta bacaan puisi oleh golongan OKU termasuk kanak-kanak istimewa dari Taska Istika Jaya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas