Berita

Nasib golongan OKU dapat perhatian KWP

SHAHIDAN (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua kanan) menyantuni anak-anak OKU di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Putrajaya.
- Diterbit 21 Februari 2022 6:54 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyantuni serta membantu anak-anak istimewa ini melalui pelaksanaan Program Semarak Kasih dalam memastikan kebajikan mereka terjaga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ini merupakan salah satu program Hari Wilayah Persekutuan 2022.

“Semarak Kasih bersama pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah bagi menggalakkan nilai kebersamaan dan kesyukuran dalam kalangan rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Ia juga bertepatan dengan matlamat kita dalam memastikan 100 peratus anak orang kurang upaya (OKU) mendapat perhatian bukan sahaja dari segi bantuan terutamanya latihan kemahiran di semua tempat yang akan diumumkan kelak,” ujarnya sambil menambah usaha ini melibatkan semua agensi di Wilayah Persekutuan.

Tambahnya lagi maklumat yang cukup juga penting dalam memastikan bantuan dapat disampaikan kepada semua yang memerlukan.

“Kita memerlukan maklumat dalam memberi bantuan agar tiada yang tercicir seperti usaha dalam membanteras golongan miskin tegar kita mempunyai satu jawantankuasa khas yang akan mengumpul maklumat,” katanya selepas Program Semarak Kasih SHWP 2022 bersama pelajar Pemulihan Dalam Komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata di Wilayah Persekutuan turut memberi fokus dalam membasmi dadah.

“Usaha membasmi dadah ini sudah ada di dalam program dan akan diumumkan suatu masa nanti. Ianya usaha berterusan kerana kita semua tahu dadah akan memberi impak yang dahsyat kepada masyarakat,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas