Selera

Nasi Briyani Kukus Padu enak luar biasa

MOHD Faisal menunjukkan antara menu yang sering mendapat perhatian orang ramai iaitu Nasi Briyani Kukus Padu Kambing Kurma.
- Diterbit 15 Disember 2022 4:00 PM MYT

JARANG sekali mendengar nasi beriani dimasak secara kukus namun bagi pengusaha Nasi Briyani Kukus Padu, Mohd Faisal Jamaludin,31, cara masakan tersebut adalah sisi kelainan yang diketengahkan olehnya.

Menurutnya kepada Wilayahku, nasi yang dimasak secara kukus lebih lembut dan berderai malah ia tidak berkerak selain lebih tahan lama iaitu tidak mudah basi.

“Pada mulanya, saya mendapat idea untuk memasak nasi secara kukus selepas melakukan pemerhatian terhadap jualan nasi beriani selain penyelidikan melalui internet dan media sosial.

“Kemudian, saya masak dan meminta keluarga menilai. Mereka semua mengakui ia lebih sedap dan lembut berbanding nasi yang dimasak di dalam periuk.

“Selepas itu, saya mengambil keputusan memberanikan diri mengambil tempahan katering terlebih dahulu sebelum membuka gerai di Bandar Tun Huseein Onn, Cheras ini,” katanya yang berniaga hampir dua tahun.

Lebih menyelerakan, Nasi Briyani Kukus Padu ini turut disajikan dengan empat jenis lauk-pauk yang dimasak menggunakan resipi daripada bapanya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

“Menariknya,kami sediakan empat jenis hidangan yang boleh dimakan bersama nasi beriani iaitu ayam berempah, ayam masala, kambing kurma dan daging masak hitam.

“Menu ayam masala, kambing kurma dan daging masak hitam adalah tarikan utama di sini kerana pelanggan dapat merasai sendiri kesedapan rasa pekat kuah yang menggunakan rempah ratus istimewa dari utara.

“Lebih istimewa, kami turut sertakan air asam utara yang mana ramuannya rahsianya dipelajari oleh ayah dan kesedapan itu sukar didapati di kedai lain,” katanya lagi.

Pernah tular di media sosial mengatakan kuantiti nasi beriani yang dijaul di gerainya sedikit. Namu Mohd Faisal tidak cepat melatah bahkan dia turut membuktikan dakwaan tersebut tidak benar.

“Kami tampil membuktikan dengan satu video yang menunjukkan nasi yang sudah dipek dalam bungkusan dituang ke atas pinggan dan pelangan dapat lihat sendiri kuantitinya.

“Kalau tak cukup boleh beritahu dan kami akan berikan nasi tambah berserta air asam dan papadom secara percuma sahaja. Jadi, ia lebih memuaskan pelanggan di samping dapat mengelakkan pembaziran,” katanya.

Ternyata, Nasi Briyani Kukus Padu mendapat sambutan mengalakkan daripada pelanggan di kawasan sekitar Cheras termasuk pengunjung luar dari Shah Alam, Johor dan Melaka.

“Hari pertama kami mula meniaga di tepi jalan ini, kami sediakan makanan untuk 100 pek sahaja dan tidak sangka hari kedua dan seterusnya bertambah sehingga mencapai 700 hingga 800 pek sehari.

“Pada hujung minggu pula, sebanyak 2,000 pek terjual dalam masa sehari merangkumi 10 cawangan di sekitar Lembah Klang,” katanya yang mampu mencapai keuntungan sebanyak RM50,000 sebulan.

Percuma buat wanita mengandung

SEMENTARA itu, Nasi Briyani Kukus Padu turut menawarkan harga promosi pada setiap Jumaat yang mana setiap pembelian lima set nasi akan mendapat satu set nasi percuma.

“Promo pembelian set nasi pada hari Jumaat ini bermula sekitar pukul 11 pagi hingga 1 petang. Pelanggan hanya boleh mendapatkan promosi ini di tiga cawangan iaitu Bandar Tun Hussein Onn, Taman Melawati dan Hulu Langat.

“Pelanggan boleh datang ke cawangan tersebut dan memilih jenis menu yang terdapat di gerai. Bagi wanita mengandung pula, mereka akan mendapat satu set nasi percuma,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

INFOGRAFIK 

Alamat: Jalan Suakasih, Tun Hussein Onn, Cheras. (Waze : Nasi Briyani Kukus Padu)

Hubungi: 011-2713 1322- Admin

Waktu Operasi: 10.30 pagi – 5 petang (Isnin – Ahad)

Media Sosial: Tiktok dan Facebook : @nasibriyanikukuspadu
Instagram: @nasibriyanikukuspadu.official

Harga: Nasi briyani ayam berempah, ayam masala, daging masak hitam – RM10
Nasi briyani kambing kurma – RM14

14 cawangan Nasi Briyani Kukus Padu :

Nasi briyani kukus padu hq, Jalan Sukasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras/ Taman Melawati / Hulu Langat / Pantai Dalam /  Kajang / Dengkil /  Salak Tinggi /  LV Bandar Tun Hussein Onn, Cheras /  Dmanz /  Pelangi 2 /  Maxim Sentul/  Bandar Baru Bangi /  Nilai /  Kota Warisan / Putra Perdana / BSP /  Bukit Mewah. 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas