Berita

MYEG lancar portal tempahan hotel kuarantin COVID-19

PORTAL safeQ dilancarkan hari ini bagi memudahkan pesakit kuarantin berisiko rendah.
- Diterbit 16 Mac 2021 9:35 AM MYT

MY E.G. Services Bhd (MYEG ) melancarkan portal dalam talian yang menawarkan pelbagai rangkaian penginapan hotel serta pilihan kemudahan khusus untuk pesakit COVID-19 berisiko rendah menjalani tempoh kuarantin wajib dengan lebih selesa.

Dikenali sebagai SafeQ, portal itu menyediakan pilihan penginapan hotel pelbagai kategori mengikut kemampuan perbelanjaan bertaraf tiga bintang hingga lima bintang.

Pengarah Projek MYEG, Datuk Nor Adnan Zainal Abidin berkata, individu yang disahkan positif virus COVID-19 tetapi berisiko rendah mempunyai pilihan menjalani tempoh pengasingan 10 hari di mana-mana hotel yang tersenarai selain kuarantin di rumah atau fasiliti kerajaan seperti MAEPS.

“Pada masa ini, The Club Saujana dan Silka Cheras tersenarai di dalam portal SafeQ.

“Bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kemudahan sepanjang tempoh kuarantin, portal ini turut menawarkan perkhidmatan seperti ujian swab COVID-19, pengangkutan ke hotel serta kemudahan lain kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Nor Adnan, penawaran perkhidmatan itu bertujuan membantu kerajaan menangani kesesakan di hospital serta lokasi kuarantin wajib yang lain di sekitar Lembah Klang.

Ujarnya, perkhidmatan turut mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Daerah Petaling.

Justeru itu, beliau memberitahu, piawaian dan syarat ketat sentiasa akan dipatuhi pihak hotel terlibat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit yang dikuarantin.

“Kelayakan individu untuk menjalani kuarantin di hotel tersedia adalah tertakluk kepada pengesahan MYEG bersama pihak berkuasa.

“Prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi dengan tegas pada setiap masa yang mana kakitangan kerajaan bertugas akan ditempatkan di hotel-hotel yang tersenarai.

“Untuk maklumat lebih lanjut mengenai SafeQ, layari www.safeq.com.my , e-mel [email protected] atau hubungi 03-78018888,” jelasnya. – NAZWIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas