Berita

MYDF sambut baik acara ‘breakdancing’ di sukan Olimpik Paris 2024

- Diterbit 9 Disember 2020 2:06 AM MYT

PERSEKUTUAN Dance Sport Malaysia (MYDF) menyambut baik acara ‘breaking’, satu bentuk tarian ‘breakdancing’ yang kompetitif, dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam.

Setiausaha Agung MYDF Chester Lim Hian Thoong menyifatkan kemasukan acara itu pada temasya di Paris oleh IOC sebagai ‘amat memberi motivasi’ kepada persekutuan itu dan atlet mereka, sambil menambah bahawa mereka sudah bersedia untuk menyusun rentak.

“Paris adalah sesuatu yang dinantikan. Dalam pada itu, kami harus menyertai banyak pertandingan dan perlu menunggu IOC untuk mengeluarkan proses kelayakan supaya perancangan tepat dapat dibuat.

“Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, Lego Sam (Sam Jee Lek) sebelum ini mencapai kedudukan 20 terbaik dunia. Sekiranya dia dapat melakukannya, kami juga harus percaya bahawa kami boleh memperoleh pencapaian yang lebih baik, bahkan pingat Olimpik di masa akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Lim, bagaimanapun, berharap bahawa acara sukan tarian yang lain seperti Amerika Latin dan Standard yang disenaraikan untuk Sukan SEA Hanoi 2021, juga akan dipertandingkan di peringkat Olimpik suatu hari nanti.

Edisi Hanoi akan menjadi temasya sukan dwitahunan serantau ketiga yang mempertandingkan sukan tarian dalam sejarah Sukan SEA  selepas kali pertama dipertandingkan di Sukan SEA Korat 2007 dan edisi Filipina tahun lepas.

Lim, yang juga Presiden Persatuan Dancesport Sarawak, berharap pandemik COVID-19 akan segera berakhir supaya atlet dapat kembali menyusun gerak tarian mereka.

Sementara itu, Pengarah Sukan MYDF John Chong Nyuk Chin pula percaya bahawa industri sukan tarian memerlukan masa beberapa tahun untuk kembali semula seperti asal selepas ‘menekan butang jeda’ sepanjang tahun ini.

Chong, 75, antara pelopor sukan tarian di negara ini berkata walaupun beberapa guru tarian berjaya melakukan peralihan dengan menganjurkan kelas tarian secara dalam talian, namun penyertaannya masih kurang.

“Pada masa ini, kami tidak dapat mengadakan pertandingan dan ujian untuk menentukan ranking kerana sukan tarian diletakkan sebagai sukan dalam dewan dan sukan bersentuhan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan,” kata Chong, yang juga Presiden Persatuan Dancesport Sabah.

Chong, yang juga seorang guru tarian di Kota Kinabalu, mendakwa kelas tarian juga terpaksa dibatalkan dan dia mengalami kerugian sekitar RM2,000 sebulan khususnya dari segi bayaran yuran dan sewa studio untuk tujuh bulan kebelakangan ini.

IOC mengesahkan acara breakdancing, luncur air, papan selaju dan sports climbing adalah empat acara sukan tambahan tersenarai dalam Olimpik Paris 2024. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas