Berita

Muhyiddin tetap ambil berat soal rakyat walaupun bukan lagi Perdana Menteri

MUHYIDDIN berkata beliau merasa lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 17 Ogos 2021 2:55 AM MYT

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun bukan lagi menjadi perdana menteri, slogan ‘Kerajaan Prihatin’ akan terus berada dalam jiwa beliau serta rakan-rakan yang sehaluan dalam kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah sebelum ini.

“Hakikatnya, saya bukan lagi perdana menteri, tapi saya akan turun ke bawah tengok…jadi guru bicarakah supaya nasib mereka (rakyat) terbela sebab saya faham semasa menjadi perdana menteri ada data menunjukkan rakyat miskin bertambah dan ini amat mencabar,” katanya kepada editor-editor kanan setelah mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri semalam.

Beliau berkata jika dinilai daripada segi prestasi Perikatan Nasional, ia tidak gagal tetapi kerajaan beliau telah melakanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Saya rasa kerajaan saya telah membuat yang terbaik…orang kata kita telah melakukannya, menguruskan COVID-19 bukannya mudah. Saya fikir kita telah menyelamatkan jutaan nyawa, beberapa ribu orang telah meninggal dunia, selalu orang melihat perkara ini tetapi sekarang rakyat telah menyedari bahawa kita telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, kami telah melakukan sehabis baik,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau merasa lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas