Berita

MRSM Sungai Besar nafi Langgar SOP, pelajar bergejala diasingkan

|PROSES sanitasi telah dijalankan di seluruh MRSM Sungai Besar
- Diterbit 1 Februari 2021 11:19 PM MYT

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) melalui sebuah kenyataan media menafikan tuduhan bahawa MRSM Sungai Besar, Selangor gagal mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) dan mengawal penularan wabak COVID-19 di MRSM Sungai Besar, Selangor.  

Ini susulan kiriman Whatsapp yang diterima dan turut dihantar kepada orang ramai. Mesej tersebut mendakwa bahawa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan  makanan yang secukupnya. 

Selain itu turut dinyatakan dalam mesej tersebut bahawa pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan, serta dakwaan wujudnya masalah SOP keselamatan melibatkan sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya. 

Pihak Maktab telah pun mengambil tindakan segera dengan mewujudkan task force yang beroperasi 24 jam sejak hari pertama gejala COVID-19 dikesan yang diketuai oleh pengetua maktab dan dianggotai oleh guru dan staf bagi membuat kerja-kerja pensanitasian setiap hari dengan nasihat dan pemantauan daripada pihak bomba. 

Sanitasi keseluruhan bangunan maktab telah dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Januari 2021. 

MARA sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sejak wujudnya gejala dan kes kontak rapat di kalangan pelajar. 

Pelajar yang bergejala telah diasingkan daripada pelajar yang sihat di blok lain serta menggunakan tandas yang berlainan. 

PROSES sanitasi telah dijalankan di seluruh MRSM Sungai Besar

Pengasingan ini telah dibuat sejak 24 Januari lagi di mana pelajar-pelajar ini diasingkan mengikut kategori dan ditempatkan di aras serta blok yang berbeza termasuk penggunaan tandas yang berasingan di bawah pemantauan PKD. 

Di samping itu juga, para pelajar lain turut dikawal pergerakan dengan mewujudkan sekatan-sekatan laluan yang perlu untuk memastikan pengasingan dan penjarakan dilaksanakan secara teratur mengikut SOP keselamatan. 

Salah seorang pelajar yang bergejala telah ditempatkan di MAEPS, Serdang. Walau bagaimanapun pelajar berkenaan tidak kritikal hanya mengalami gejala batuk. 

MARA sentiasa memastikan pelajar-pelajar MRSM mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan COVID-19 di kalangan pelajar.

Tiada isu kekurangan makanan dan peralatan pencegahan dilaporkan. Sebaliknya pelajar-pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan makanan yang dibungkus setiap hari mengikut menu dewan selera di samping makanan tambahan seperti buah-buahan dan minuman tertentu yang diperlukan oleh pelajar.

Selain itu, setiap pelajar dibekalkan pelitup muka dan hand sanitizer bagi memastikan kebersihan dan langkah pencegahan jangkitan di kalangan pelajar. 

Pihak maktab juga turut mengambil langkah penjagaan dengan setiap warden dan guru bertugas disediakan Personal Protective Equipment (PPE). 

Pihak MARA telah membuat laporan polis pada 1 Februari 2021 ekoran dakwaan berkenaan. 

Selain itu juga, MARA sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar dengan berhubung rapat PKD berkaitan permasalahan kesihatan anak-anak pelajar. 

Ibu bapa dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak. Pihak pengurusan sangat mengambil berat dan sentiasa peka akan hal anak-anak. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas