Artikel

Milik siapa gerai terpacak di sana sini?

FOOD truck diletakkan di Taman Tasik Titiwangsa.
- Diterbit 11 April 2022 2:59 AM MYT

HARI ini hari keenam umat Islam melalui bulan Ramadan. Kemeriahan bazar Ramadan begitu terasa. Di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, sebanyak 5,000 bazar Ramadan beroperasi, termasuk kawasan tradisi popular Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan Lorong Tuanku Abdul Rahman.

Di WP Putrajaya, sebanyak 200 booth disediakan dengan jangkaan kehadiran 500,000 pengunjung membeli keperluan berbuka puasa dan kelengkapan hari raya.

Bazar Ramadan tahun ini beroperasi ketika negara memasuki fasa endemik mulai 1 April lalu. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti ini tidak dapat dilaksanakan.

Kini bazar Ramadan kembali meneruskan tradisi menyajikan kuih-muih untuk berbuka puasa, juga pelbagai keperluan Aidilfitri seperti pakaian dan kuih raya.

Namun yang ingin Adi tonjolkan bukan kisah bazar Ramadan. Ini kerana bazar beroperasi di lokasi ditetapkan dan peniaga adalah pemegang lesen sah yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tiada isu mengenai perkara ini.

Yang merisaukan Adi ialah kehadiran gerai niaga bagai cendawan tumbuh selepas hujan, didirikan di merata tempat di ibu negara. Adakah gerai-gerai tersebut dibenar didirikan di kawasan berkenaan? Adakah pemiliknya peniaga berlesen?

Buatlah tinjauan di beberapa tempat di Kuala Lumpur, dapat disaksikan kanopi dipasang atau dipacak sesuka hati dalam pelbagai ragam dan bentuk sehingga mencatatkan pemandangan. Misalnya di kawasan Gombak, Wangsa Maju, malah Taman Tasik Titiwangsa.

Kerusi meja dan food truck memenuhi ruang parkir di Taman Tasik Titiwangsa. Kesemuanya dibiarkan terus berada di tapak niaga sepanjang masa, seolah-olah tapak niaga kekal. Taman tasik tumpuan ramai beriadah pun menjadi mangsa sehingga mencacatkan keindahan taman tasik berkenaan.

Akibat membiarkan gerai ditinggal memenuhi ruang parkir, menjadi masalah kepada pengunjung meletak kenderaan.

Malah ia juga menganggu pergerakan orang ramai untuk berjalan atau berjoging. Penduduk sekitar taman tasik juga dilaporkan tidak senang dengan keadaan ini.

Adi tidak pasti sama ada perkara ini dalam perhatian pihak DBKL atau sebaliknya kerana ia sudah lama, bagai tiada sebarang tindakan diambil. Mungkin ini menyebabkan para peniaga menganggap apa yang mereka lakukan tidak menyalahi peraturan.

Memang Adi maklum Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ada melaksanakan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) yang masih berkuat kuasa sehingga Jun ini. Matlamat utama untuk membantu golongan yang terjejas akibat COVID-19 menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan.

Di bawah IWBB, peniaga boleh mendirikan gerai atau kanopi di kawasan pilihan sendiri yang sesuai. Namun ada syarat ditetapkan. Peniaga mesti mendapatkan lesen atau permit DBKL, tidak menganggu kawasan parkir dan tidak menganggu pergerakan orang ramai.

Selain itu kebersihan persekitaran mesti dijaga sepanjang masa. Kanopi mesti disimpan selepas habis berniaga dan tidak boleh ditinggalkan di tapak niaga.

Namun menyaksikan perkembangan masa kini, Adi hanya boleh membayangkan dua kemungkinan. Pertama, peniaga berlesen tidak mematuhi syarat lesen IWBB. Kedua, mereka yang mendirikan kanopi atau membawa food truck sesuka hati itu bukan peniaga IWBB.

Sebaliknya mereka hanya peniaga biasa yang turut mengambil kesempatan. Apabila melihat gerai-gerai IWBB beroperasi maju, mereka mengambil peluang menempel sama, memacakkan kanopi sesuka hati dan meninggalkannya sesuka hati. Memang sukar disedari keadaan ini kecuali DBKL membuat pemantaun dan pemeriksaan sepanjang masa.

Kerana itu Adi berharap pihak berkuasa bertindak sewajarnya. Jika ternyata ia perbuatan para peniaga IWBB yang tidak mematuhi peraturan, batalkan sahaja lesen. Jika ia perbuatan peniaga ‘segera’ tidak berlesen, bertindaklah menurut peruntukan undang-undang.

Kewujudan pelbagai gerai tidak teratur dan tidak seragam di kawasan-kawasan tertentu telah mencacatkan pemandangan sekitar. Jika tidak dikawal, keadaan boleh menjadi semakin teruk. Bukan tidak membenarkan orang berniaga, tetapi mestilah menurut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

SYAHDU DI HATI SAF SOLAT KEMBALI RAPAT

JUMAAT 1 April detik bersejarah apabila negara memasuki fasa endemik COVID-19. Virus tersebut kini dianggap sebahagian daripada kehidupan harian dan rakyat perlu belajar untuk hidup bersamanya. Namun langkah ketat pencegahan jangkitan dan perubatan tetap diutamakan.

Bagi Adi satu aspek yang sangat menyentuh hati peralihan ke fasa endemik di Wilayah Persekutuan ialah solat berjemaah di masjid dan surau dibenarkan rapat, tidak lagi tertakluk kepada penjarakan fizikal.

Jemaah masih dikehendaki membawa sejadah sendiri. Solat didirikan di atas sejadah masing-masing yang disusun rapat antara satu sama lain. Kerana itu sekali pun rapat, tidak berlaku sentuhan fizikal antara jemaah sebelah menyebelah.

Inilah pemandangan yang sangat syahdu mengusik hati. Setelah begitu lama mendirikan solat dengan penjarakan satu meter, kini semua kembali seperti asal. Juga tiada larangan umur untuk datang berjemaah.

Di surau Jumaat Alfalah, Danau Kota, tempat Adi selalu solat berjemaah, jemaah kelihatan begitu ceria memulakan kaedah baharu solat. Pada mulanya seperti ada yang masih ragu-ragu atau kekok dengan peraturan baharu. Maklum sudah terlalu lama solat jarak.

Namun itu hanya kekeliruan kecil apabila solat fardu Subuh 1 April menjadi pembuka tirai bermulanya solat tanpa penjarakan. Menjelang solat Jumaat dan solat fardu selepasnya, semua sudah dapat membiasakan diri.

Solat Jumaat di Surau Alfalah memang mendapat sambutan menggalakkan. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan kariah tetapi juga dari kawasan berhampiran. Jemaah akan melimpah sehingga ke bahagian luar surau yang berbumbung.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat awal menyaksikan hanya AJK dibenar bersolat fardu dan Jumaat. Kemudian dilonggarkan kepada beberapa puluh orang secara jemputan.

Kerana itulah bagi Adi kebenaran semula solat dengan kapasiti penuh tanpa penjarakan sangat menyentuh hati. InsyaAllah selepas ini kebebasan bersolat ini akan beterusan berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiada lagi PKP selepas ini.

Istimewanya Surau Alfalah kerana ia juga menjadi tumpuan warga asing, kebanyakannya tinggal di sekitar kawasan berhampiran surau. Ada yang dari Yemen, Somalia, Palestin dan Mongolia. Antaranya ramai pelajar atau tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak. Kampus UIA tidak jauh dari surau.

Kini di bulan Ramadan mulia, Adi saksikan kehadiran ke surau sangat memberangsangkan pada solat fardu dan tarawih hingga melimpah ke bahagian luar surau. Sepertinya ini menggambarkan rindunya para jemaah untuk beramai-ramai kembali berjemaah tanpa penjarakan.

Namun begitu amat penting semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuatkuasa seperti memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri. Teruslah lindungi diri dan berwaspada kerana COVID-19 sentiasa berada di sekeliling. – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas