Artikel

Usah ceroboh laluan

- Diterbit 1 Disember 2023 1:55 AM MYT

ORANG ramai yang menggunakan bas sebagai pengangkutan utama di Kuala Lumpur harus berasa lega kerana kini laluan khas bas diwujudkan kembali. Tujuannya untuk melancarkan pergerakan bas dalam kesesakan bertali arus di ibu kota, terutama pada waktu puncak.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi ini perkembangan baik memandangkan saban hari bas tersangkut di perjalanan, bersaing dengan kenderaan lain. Kerana itu jadual perjalanan bas jarang menepati waktu, sama ada untuk sampai ke perhentian atau ke destinasi tujuan. Yang susah ialah penumpang.

Diharap dengan adanya laluan khas, masalah kelewatan dapat dikurangkan. Sewaktu laluan khas beroperasi menurut jadual ditetapkan, kenderaan lain tidak dibenar menggunakan laluan berkenaan kecuali teksi.

Mudah sahaja mengenali laluan khas. Sepanjang laluan dicat dengan garisan tebal berwarna kuning di lorong paling tepi kiri jalan. Di atas laluan itu ada tulisan ‘Bas dan Teksi Sahaja’. Papan elektronik juga mempamerkan peringatan tersebut, selain maklumat waktu laluan beroperasi. Usah ceroboh garisan kuning ini.

Mungkin generasi lama masih ingat laluan khas bas pernah diwujudkan pada tahun 1990-an untuk bas Intrakota, syarikat yang mengambil alih perkhidmatan bas di ibu negara daripada pelbagai syarikat bas ketika itu.

Perkhidmatan bas syarikat Intrakota kemudian diambil alih Rapid KL pada 2004, yang kini merupakan syarikat pengendali bas terbesar di Lembah Klang.

Kawan-kawan Kedai Kopi menyambut baik usaha menggerakkan kembali laluan khas bas. Perkhidmatan bas perlu ditambah baik agar lebih efisien untuk menarik orang ramai menggunakannya, sejajar dengan hasrat kerajaan menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam.

Namun demi menjayakan matlamat ini, orang ramai mesti memberi kerjasama padu. Jangan masuki laluan bas. Kawan-kawan Kedai Kopi rimas apabila melihat sendiri banyak kenderaan tidak mempedulikan laluan ini dan memasukinya.

Diharap pihak berkuasa kerap memantau dan bertindak terhadap pemandu yang degil. Dalam kalangan pengguna jalan, pupuklah diri agar tidak hanya mematuhi peraturan apabila ada penguatkuasaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas