Berita

MCMC, polis rakam percakapan Aliff Syukri

- Diterbit 4 April 2024 10:08 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, semalam.

MCMC berkata, tindakan tersebut dibuat susulan aduan yang diterima oleh MCMC berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.

“Setelah kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas MCMC, klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial tersebut dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan
hati atau mengganggu orang lain.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588],” ujarnya.

Selain itu, menurut MCMC, pegawai penyiasat telah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas