Berita

MCMC cadang kerajaan negeri jadikan akses internet utiliti asas

- Diterbit 6 Oktober 2020 2:53 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan satu dasar berkaitan kemudahan akses internet sebagai utiliti asas sebagaimana bekalan elektrik dan air, di kawasan pembangunan penempatan baharu.

Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata ia bagi mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi capaian 5G dan mengatasi masalah pemain industri mendapatkan kelulusan tanah bagi membina menara telekomunikasi.

“Ada yang mahu perkhidmatan internet, tetapi bila kita sediakan menara mereka (masyarakat) tidak mahu tapak belakang rumah diganggu.

“Satu cara yang kita rasa boleh mempercepatkan proses (capaian internet) adalah dengan kerajaan negeri membuat satu dasar iaitu telekomunikasi mesti menjadi satu utiliti asas (sama seperti elektrik dan air),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata MCMC sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan, bantuan dan mempercepatkan proses capaian internet yang menyeluruh kepada rakyat.

“Buat masa ini, kerajaan negeri tidak ada masalah kerana bila ceritakan sedemikian jumlah pelaburan akan masuk…ramai yang terbuka minda dan membantu pihak industri. Ada beberapa negeri sudah laksanakan beberapa polisi yang memang membantu pihak industri,” katanya.

Pada 29 Ogos lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

Pelan itu akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas