Utama

Maut bergaduh: Pasangan suami isteri direman 7 hari

MAUT SELISIH FAHAM
KEADAAN mangsa akibat dirempuh kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri selepas perselisihan faham berlaku ekoran daripada kemalangan.
- Diterbit 11 Ogos 2019 6:36 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar ke Bangi dekat sini, semalam, sehingga mengakibatkan seorang lelaki meninggal dunia direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, tahanan reman dibuat ke atas sepasang suami isteri berumur 40 dan 36 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, motif kejadian adalah berpunca daripada isu kemalangan jalan raya dan tidak berhubung kait dengan isu perkauman sepertimana yang telah ditularkan di media sosial.

“Siasatan awal mendapati, kejadian bermula akibat kemalangan kecil selepas Tol Sungai Besi menghala selatan yang mana kereta mangsa telah melanggar bahagian belakang kereta suspek.

“Ekoran itu berlaku kejar mengejar dan cabar mencabar sehinggalah kedua mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi seterusnya berlaku pergaduhan. Beberapa pemandu lain turut berhenti untuk mententeramkan kedua mereka dan akhirnya masing-masing kembali ke kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati dan keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu baseball serta memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Ujar beliau, ekoran itu suspek memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar mangsa sehingga mengakibatkannya tersepit antara kereta suspek dan penghadang jalan.

Tambah Fadzil, mangsa dibawa ke Nilai Medical Centre dan disahkan meninggal dunia semasa dirawat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas