Berita

Persekutuan Wushu WPKL sasar lebih 40 pingat emas

SUKAN WUSHU
KHALID (dua dari kanan) beramah mesra dengan beberapa peserta dari Indonesia sambil disaksikan Chong (kanan) dan Nik Nazmi (kiri).
- Diterbit 10 Ogos 2019 7:05 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

KUALA LUMPUR – Persekutuan Wushu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyasarkan kutipan lebih 40 pingat emas bagi Kejohanan Wushu Antarabangsa ke-5 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini bermula hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Lim Hong Shuan berkata, pada kejohanan kali ini, Malaysia menyasarkan lebih 40 pingat emas diperoleh daripada 100 acara yang dipertandingkan.

“Pada kejohanan terdahulu, beberapa pasukan daripada negara kita berjaya mengutip 40 pingat emas, oleh itu kali ini kita sasarkan pungutan lebih lagi.

“Saya berharap pasukan negara dapat mengatasi negara-negara lain. Malaysia juga menyertai kesemua acara yang dipertandingkan,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Antarabangsa ke-5 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt.

Kejohanan Wushu Antarabangsa ke-5 yang dijadualkan selama dua hari turut dibahagikan kepada beberapa kategori antaranya tradisional dan Santa serta melibatkan 700 peserta dari 12 buah negara termasuk Malaysia.

Antara negara yang terlibat adalah China, India, Indonesia, Brunei, Vietnam, Australia, Sepanyol dan Singapura.

Terdahulu pada majlis itu, Khalid menyerahkan cenderahati bendera kepada wakil-wakil negara yang menyertai kejohanan berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas