Berita

Fasha, Nora berbaik tanpa paksaan… “Masing-masing ada silap dan khilaf”

- Diterbit 17 Februari 2024 11:00 PM MYT

“HUBUNGAN kami juga menjadi baik secara semula jadi tanpa paksaan orang lain,” luah pelakon jelita, Fasha Sandha ketika diminta mengulas hubungannya dengan Nora Danish, ketika ini.

Menurut Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, dia sudah lama melupakan sengketa yang pernah wujud antara mereka.

Tambahan pula, perasaan untuk berbaik dengan Nora timbul secara semula jadi tanpa didorong mana-mana pihak.

Katanya, mereka memang jarang berjumpa dan kalau jumpa pun mungkin setahun sekali kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.

“Namun, pengalaman sebelum ini banyak mengajar kami berdua kerana akhirnya berjumpa dengan lelaki yang tepat (suami sekarang) dan ‘soulmate’ sebenar.

“Saya juga (sebelum ini) pernah berasa takut jika Nora masih ada simpan perasaan marah lagi tetapi ia sebaliknya,” katanya.

Selain itu, kata Fasha lagi, tiada sebab untuk mereka terus bermasam muka kerana mempunyai anak daripada darah daging (suami) yang sama.

“Ada satu masa, saya tengok Nora masih ikut (follow) saya di akaun Instagram dan kenapa saya perlu rasa ‘bitter’ pula kan? Hati Nora sangat baik. Walaupun kami bukan berkawan baik tetapi kami adalah sebuah keluarga,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada acara zumba bersama pelakon Nora Danish dan Elisya Sandha di The ISpace, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada acara itu, Nora dan Elisya turut diumumkan sebagai duta makanan tambahan iaitu Gattox keluaran Inayah Beauty. Hadir sama di acara itu, Fasha, Adira Suhaimi dan Watie Hanifiah.

Sementara itu, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, berkata, dia tidak mahu lagi mengenang apa yang pernah terjadi dulu dan lebih selesa hidup tanpa ada gusar di hati.

“Kami mahu lupakan semua sengketa lama kerana tidak penting untuk diingati lagi.

“Allah SWT sebaik-baik perancang, kami memang jarang bertemu. Tapi, menerusi produk Inayah Beauty ini kami dapat berjumpa dan ada hikmah di sebaliknya. Anak kami juga adalah adik-beradik.

“Sebenarnya, kami sudah lama berbaik. Perselisihan faham yang berlaku dulu juga ketika kami masih muda, masih mentah dan belum matang.

“Kalau kejadian itu tidak berlaku, macam mana kami akan berbaik sebegini. Pengalaman memang satu perkara yang penting untuk menjadikan kita lebih baik,” jelasnya.

Mengenai hubungannya dengan Fasha lagi, kata Nora, dia akui mengambil masa untuk melupakan perselisihan faham yang berlaku dan percaya hikmah Allah telah mengatur susunan terbaik buat mereka.

“Bagi saya, masing-masing ada silap dan khilaf. Dulu kami terlalu mentah, hanya fikir perkara yang negatif saja. Dugaan yang Allah bagi itu perlu reda dengan segala yang terjadi.

“Alhamdulillah, saya sendiri mengambil masa, namun inilah yang terbaik,” katanya.

Untuk info, hubungan antara Nora dan Fasha pernah berada dalam keadaan tegang, selepas Fasha didakwa kononnya menjadi punca rumah tangga antara Nora dengan bekas suaminya, Jejai atau Datuk Rizal Ashram Ramli runtuh.

Hasil perkongsian hidup, Nora dan Jejai yang berkahwin pada 2006, dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Putera Rayqal yang kini berusia 15 tahun. Pasangan itu bercerai pada 2008.

Selepas Nora dan Jejai berpisah, lelaki itu berkahwin dengan Fasha yang didakwa menjadi punca berpisahan Nora.

Perkahwinan antara Fasha dan Jejai pada 2012, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 11, dan Putri Raysha Jemaima, 9. Namun, pasangan itu bercerai pada 2016.

Kini, Nora sudah berkahwin dengan Nedium Nazri pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Neqayl Nedim, 6.

Fasha pula mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pelakon, Aidil Aziz pada 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira, 4. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas