Artikel

Mantap strategi kebolehpasaran graduan demi hasilkan masyarakat Madani

TEMPOH antara tiga hingga lima tahun diperlukan graduan tempatan untuk menggenggam ijazah. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Julai 2023 2:00 AM MYT

DR NUR HAIRANI ABD RAHMAN

BERDASARKAN QS Graduate Employability Rankings 2022, tiada satu universiti tempatan mampu berada dalam kedudukan 100 dunia dalam kategori kebolehpasaran siswazah. Senarai tersebut menunjukkan Universiti Malaya (UM) masih mengungguli bagi peringkat nasional apabila hanya mampu tersenarai dalam kelompok 131-140 dunia.

Manakala, empat institusi pendidikan tinggi swasta berada di kedudukan dua hingga empat, iaitu Taylor’s University (191-200), UCSI University (201-250) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) (201-250).

Kedudukan lima hingga 11 (kelompok 301-500) pula dibarisi institusi seperti Management and Science University (MSU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kedudukan ini tidak jauh beza daripada tahun-tahun sebelumnya, justeru menimbulkan tanda tanya, adakah masa depan graduan tempatan kita tidak terjamin? Adakah dasar dan strategi yang kita gunakan dalam memastikan graduan kita tidak menganggur itu gagal?

Ketika krisis pandemik yang lalu dan rentetan kejatuhan ekonomi dunia termasuklah Malaysia telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat dari 3.3 peratus pada tahun 2019 kepada 4.5 peratus (2020) dan 4.6 peratus (2021).

Pada durasi tahun yang sama juga, peningkatan kadar pengangguran telah memberi kesan kepada penurunan kadar kebolehpasaran graduan daripada 86.2 peratus (2019) kepada 84.4 peratus (2020).

Ketidakstabilan ekonomi pada ketika ini telah menyebabkan penawaran buruh melebihi permintaan pasaran buruh, sekali gus mewujudkan persaingan sengit dalam mencari pekerjaan, kesesuaian dan padanan skop kerja dengan bidang pendidikan yang dilatih serta tangga gaji yang rendah khususnya kepada graduan yang tiada pengalaman dan kemahiran.

Permasalahan ini merupakan antara kerisauan yang dialami graduan tempatan dan juga pemain industri tatkala ditanya pandangan mereka terhadap isu kebolehpasaran graduan.

Graduan tempatan perlu menghabiskan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebelum mereka layak menggenggam segulung ijazah. Ada di antara mereka menerima biasiswa penuh dan ada juga yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan untuk menampung kos pengajian dan sara hidup sepanjang berada di IPT.

Rata-rata graduan sudah semestinya mempunyai cita-cita mendapatkan tawaran pekerjaan seusai mereka tamat pengajian. Namun, berikutan daripada peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan ramai daripada mereka terpaksa bersaing dalam merebut peluang tersebut. Ramai yang tumpas dalam persaingan pasaran kerja sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.

Dari sudut pandang graduan tempatan pula, mereka berasa begitu terkesan dengan hutang pendidikan meskipun baru tamat graduasi. Ada juga di antara mereka yang sudah mendapat pekerjaan. Bagaimanapun tawaran yang diberikan adalah dalam bidang yang tidak setara dengan latar belakang pendidikan, namun terpaksa diterima bagi menampung kehidupan.

Lebih menyedihkan lagi, ramai di antara mereka masih gagal mendapatkan pekerjaan setelah enam bulan atau setahun menamatkan pengajian. Hal ini sekali gus menyebabkan berlakunya lambakan graduan tempatan yang tidak berupaya memasuki pasaran buruh.

Kitaran yang sama akan berlaku untuk tahun-tahun yang akan datang sehingga mampu memberi implikasi negatif kepada kebolehpasaran graduan tempatan.

Terdapat beberapa inisiatif signifikan yang telah atau sedang dilaksanakan pihak kementerian. Pada tahun 2021, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melancarkan Pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025. Pelan strategik ini adalah kesinambungan daripada The National Graduate Employability Blueprint 2012-2017.

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 merupakan satu dokumen dasar dan strategi yang dirangka dalam memandu arah IPT-IPT dalam melaksana dan merancang aktiviti kebolehpasaran graduan.

Di samping itu, KPT pada tahun 2022 juga telah menggariskan lima inisiatif dalam menambah baik kebolehpasaran siswazah iaitu Program Penjana Kemajuan Kerjaya KPT (Penjana KPT-CAP), Program ‘Teaching Factory’, Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pendidikan fleksibel dan kursus ‘microcredential’ serta program-program mobiliti.

Program Penjana KPT-CAP misalnya bertujuan untuk menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku kesan daripada krisis pandemik. Graduan yang terpilih di bawah program ini berpeluang untuk meningkatkan kemahiran serta mendapatkan penempatan pekerjaan setelah tamat program.

Pelan dan program-program sebegini penting dalam memberi tambah nilai kepada kebolehpasaran graduan tempatan.

Selain itu, dasar, pelan dan strategi sedia ada perlu dimantapkan di samping mencari dan meneliti inisiatif-inisiatif baru yang mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan.

Penelitian semula terhadap program-program akademik mungkin perlu dilaksanakan agar bidang-bidang pengajian graduan sesuai dengan keperluan industri.

Antara yang boleh dipertimbangkan adalah memberi pendedahan kepada graduan tentang persekitaran kerja sebenar mengikut tempoh latihan yang bersesuaian dan melatih pelajar dengan kemahiran tambahan standard berdasarkan keperluan industri.

Misalnya, salah satu strategi yang telah dilaksanakan Massachusetts Institute of Technology (MIT) termasuklah menyediakan pembelajaran pengalaman yang cemerlang dan memastikan kepelbagaian peluang dengan menyuntik elemen kemahiran insaniah dan celik digital dalam program-program akademik mereka menerusi aktiviti seperti latihan industri, penglibatan graduan dalam latihan kepimpinan, aktiviti perkhidmatan dan memperoleh pengalaman pendidikan di luar negara.

Inisiatif-inisiatif ini ada di antaranya telah dilaksanakan di IPT-IPT tempatan dan mungkin boleh ditambah baik mengikut keperluan semasa.

Di samping itu juga, kolaborasi dan libat urus pemain industri, IPT serta pihak-pihak berkepentingan lain perlu dipergiatkan untuk memastikan perancangan masa depan untuk kebolehpasaran graduan lebih komprehensif dan mampan, terutama sekali dalam mendepani revolusi industri pasca pandemik dan perubahan lanskap pasaran buruh.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan (Dasar Awam), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas