Artikel

Program Menu Sihat Perpaduan libatkan Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan

|||||||||PELANCARAN Menu Sihat Perpaduan di Johor|PELANCARAN Menu Sihat Perpaduan di Negeri Sembilan |PELANCARAN Menu Sihat Perpaduan di Terengganu |SABAH juga tidak ketinggalan melancarkan Menu Sihat Perpaduan
- Diterbit 16 Julai 2023 12:38 AM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah mengadakan program Menu Sihat Perpaduan secara serentak di semua Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan seluruh Negara.

Program ini melibatkan 1,781 Tabika Perpaduan dengan jumlah murid seramai 36,874 orang dan 41 Taska Genius Perpaduan dengan jumlah kanak-kanak seramai 980 orang.

Program menu sihat ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kefahaman kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan pengamalan menu sihat dalam kehidupan seharian.

KETUA Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud (tiga dari kiri) melancarkan program Menu Sihat Perpaduan

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud, kesedaran mengenai penjagaan pemakanan sejak awal dapat mendorong untuk mereka menjalani kehidupan secara seimbang.

“Kanak-kanak yang dihantar ke tabika dan taska menghabiskan sebahagian masa mereka di sini. Oleh itu, tabika dan taska merupakan institusi penting dalam membantu pertumbuhan dan perkembangan optimum kanak-kanak.

“Selain itu, amalan makan secara sihat yang dipupuk sejak prasekolah sejak kecil dapat membantu kanak-kanak mengamalkannya sehingga dewasa,” ulasnya.

AMALAN pemakanan sihat membantu kanak-kanak bagi mengurangkan empat kesan malnutrisi.

Selain itu ianya juga dapat meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai penyediaan menu sihat yang bernutrisi serta pengamalan gaya hidup dan budaya pemakanan sihat.

Pelaksanaan program ini melibatkan guru, penolong guru, pendidik, pembantu pendidik, ibu bapa, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan serta masyarakat setempat dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

Pelbagai pengisian yang dirangka untuk memastikan amalan pemakanan sihat dapat diterapkan kepada kanak-kanak bagi mengurangkan empat kesan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak iaitu kurang berat badan, terbantut, tersusut dan berat badan berlebihan atau obesiti.

Program ini turut menyokong kepada Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menjadi inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran.

PELANCARAN Menu Sihat Perpaduan di Johor
PELANCARAN Menu Sihat Perpaduan di Negeri Sembilan
PELANCARAN Menu Sihat Perpaduan di Terengganu
SABAH juga tidak ketinggalan melancarkan Menu Sihat Perpaduan

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas