Berita

Malaysia-China akan bincang tempoh perjanjian pinjaman panda gergasi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Januari 2024 1:50 PM MYT

MALAYSIA akan menghubungi kerajaan China bagi membincangkan sama ada ia boleh melanjutkan tempoh perjanjian pinjaman panda gergasi yang akan tamat pada tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau optimis kerajaan China akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan itu memandangkan kedua-dua negara telah menjalin hubungan diplomatik yang kukuh selama ini.

“Panda gergasi itu akan dikembalikan. Saya rasa saya akan bincang dengan kerajaan China, Presiden Xi Jinping, untuk melihat beberapa mekanisme sama ada kita boleh melanjutkan tempoh panda itu tinggal di Malaysia.

“Berdasarkan hubungan baik kita, saya agak optimis mereka akan memberi pertimbangan dan sokongan sewajarnya kepada cadangan kita,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Zoo Negara ke-60 di Dataran Dato’ Ismail Hudson di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Presiden Zoo Negara Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.

Pasangan panda gergasi yang menjadi ikonik hubungan Malaysia-China, iaitu Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 selama 10 tahun sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Pinjaman itu dibuat di bawah Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda, yang membolehkan Malaysia menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan panda gergasi selain membangun dan melatih kepakaran tempatan.

Sehingga kini, Liang Liang telah melahirkan tiga ekor anak panda, Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021, yang menyaksikan Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017. Pada Ogos tahun lepas, Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada Yi Yi dan Sheng Yi apabila Zoo Negara menghantar pulang kedua-dua anak panda itu ke negara asalnya.

Sementara itu dalam sidang media, Anwar berkata walaupun kos pengurusan bagi panda tersebut agak tinggi, namun ia sedikit sebanyak menjadi tarikan utama pengunjung untuk melihat sendiri haiwan yang berasal dari China itu.

“Kita tidak bayar harga panda, cuma penyenggaraan sahaja dan kalau ditanya orang ramai berkunjung ke zoo (ramai) nak lihat panda. Bagi rakyat dia merasakan ini adalah peluang sekali seumur hidup melihat panda, jadi saya tentu pertimbang dari segi itu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk program-program pembangunan Zoo Negara termasuk dari aspek pemuliharaan.

Anwar berkata kelulusan berkenaan juga akan ditambah dengan dana terkumpul menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat terlibat, berjumlah RM5 juta.

“Dengan kadar RM10 juta ini kita akan kawal (membabitkan) wakil Menteri Besar dan kerajaan supaya dapat bekerjasama dengan jawatankuasa Zoo Negara supaya kita dapat baiki perancangan dan projek-projek di Zoo Negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas