Agama

Makan dahulu sebelum solat

Gambar hiasan.
- Diterbit 27 Disember 2019 7:35 AM MYT

Soalan: Benarkah terdapat hadith tentang diutamakan makan dahulu sebelum didirikan solat apabila makanan sudah tersedia?

Jawapan:

SOLAT merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang beriman dan orang kafir sebagaimana dinyatakan di dalam hadith.

Untuk itu, setiap orang beriman perlulah mengetahui dan mempelajari hukum-hakam berkaitan solat.

Memang terdapat riwayat yang menyatakan hal sedemikian. Maka, di sini kami sertakan beberapa riwayat yang menunjukkan akan hal tersebut.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” [Riwayat al-Bukhari (5463)]

Di dalam riwayat lain, juga daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Apabila telah datang makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan, maka mulakanlah dengan makanan.” [Riwayat Muslim (557)]

Melihat kepada dua hadith yang sahih di atas, maka jelas menunjukkan kepada terdapat perintah daripada Nabi Muhammad SAW untuk mendahulukan makan sebelum solat. Di samping itu, terdapat sebuah lagi hadith yang umum menunjukkan larangan solat ketika terhidangnya makanan iaitu;

“Daripada Aisyah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar).” [Riwayat Muslim (560)]

Selain itu, Imam al-Tirmizi berkata di dalam Jami’nya: Maksudnya: “Hadith ini diamalkan sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW antaranya Abu Bakar, Umar dan Ibn Umar. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak.

Mereka berdua berkata: Mulakanlah dengan makanan walaupun kamu terlepas melaksanakan solat secara berjemaah.” [Lihat: Jami’ alTirmizi, 184/2]

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas dalam Sahih Muslim adalah: Maksudnya: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakan kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

“Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar.

“Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’iyyah) dan selain daripada mereka.” [Lihat: al-Minhaj, 46/5]

Imam Ibn Qudamah pula berkata bahawa pentingnya khusyuk dan juga melapangkan hati di dalam solat sebagaimana yang dinyatakan ini: Maksudnya: “Apabila telah tersedia makan ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan bersegera ketika makan malam atau makan tengahari.” [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 189/27]

Kami berpendapat bahawa hukum orang yang solat dalam keadaan makanan telah tersedia adalah makruh jika didirikan solat dalam keadaan waktu solat itu masih lama berbaki. Dalam keadaan itu, maka sunat untuk dia makan terlebih sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas.

Namun jika waktu solat sudah hampir tamat, maka pada waktu ini hendaklah ditunaikan solat terlebih dahulu sebelum memakan makanan yang telah tersedia itu.

Status riwayat

Sebelum mengakhiri perbahasan ini, di sini kami sertakan satu riwayat yang masyhur dan ia juga membawa maksud yang sama dengan hadith-hadith di atas: Maksudnya: “Apabila datangnya makan (malam) dan Isyak maka mulakanlah dengan makan (malam).”

Hadith ini dihukum oleh para ulama’ seperti Imam al-Iraqi bahawa tiada asal di dalam kitab hadith dengan lafaz seperti ini. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 89/1]

Selain itu, Imam al-Suyuthi juga mengkhabarkan yang sedemikian iaitu tiada asal di dalam kitab hadith dengan lafaz seperti ini. [Lihat: al-Durar al-Muntathirah, 67/1]

Dengan itu, kami cenderung mengatakan bahawa riwayat dengan lafaz di atas adalah tidak sahih. Namun riwayat dengan lafaz daripada al-Bukhari dan Muslim adalah sahih. Maka, kita tidak boleh meriwayatkan berkaitan hal ini dengan menggunakan riwayat di atas ini serta menyandarkannya kepada Nabi SAW.

Kesimpulannya, terdapat nas atau hadith yang menceritakan agar didahulukan makan berbanding solat jika masih mempunyai waktu untuk didirikan solat tersebut.

Seseorang itu perlu mendirikan solat dalam keadaan penuh khusyuk dan hati yang tenang. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima solat kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa bangun untuk melaksanakan solat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas