Agama

Sumpah laknat di mahkamah jika diminta hakim

Gambar hiasan.
- Diterbit 27 Disember 2019 8:17 AM MYT

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri menjelaskan, perbuatan sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali yang membabitkan li’an iaitu dalam kes suami menuduh isterinya berzina.

Beliau berkata, bagi mubahalah (sumpah laknat) yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam, sebaliknya ia dikategorikan dalam bab sumpah dalam perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah yang palsu.

“Perkara ini pernah direkodkan berlaku antara Rasulullah SAW dengan golongan bukan Islam dan kes perbezaan pembahagian harta pusaka yang berlaku pada zaman sahabat.

“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan proses keadilan di mahkamah, tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim,” katanya.

Zulkifli menjelaskan, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim.

“Ianya dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengar. Ia disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut: al-bayyinah ‘ala muddaie, wal yamin ‘ala muddaa alaih (pembuktian adalah tanggungjawab pihak pendakwa manakala sumpah penafian adalah tanggungjawab orang yang didakwa).

Dalam pada itu, beliau menyatakan, pada masa kini telah wujudnya mahkamah untuk penyelesaian isu perundangan.

“Justeru kami berpendapat bahawa mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan,” katanya.

Dalam hal ini, Zulkifli menegaskan, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar mewujudkan dan menguatkuasakan peraturan yang melarang sebarang majlis berkaitan sumpah atau sumpah laknat yang melibatkan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Katanya, antara fungsi dan peranan masjid di dalam Islam adalah tempat pembinaan kerohanian, pengukuhan sosial umat Islam, pembelajaran dan pendidikan dan meleraikan permasalahan kehidupan seperti isu perundangan.

Selain itu jelas beliau, rumah Allah itu juga menjadi tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar selain lokasi bagi penyampaian arahan pemerintah sebagaimana dinyatakan Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas