Berita

Lydia hadiah pingat gangsa pada aksi pertama wushu

AKSI Lydia dalam acara Nanquan Wanita ketika Kejohanan SUKMA yang diadakan di Bukit Jalil, hari ini.
- Diterbit 14 September 2022 1:09 PM MYT

WILAYAH Persekutuan menerima durian runtuh pada acara wushu Nanquan Wanita selepas atlet Lydia Lau Pei Yi, 17, meraih pingat gangsa di Gimnasium 2, Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Lydia, walaupun ­gementar ­kerana ini merupakan kali pertama dia beraksi di pentas SUKMA, beliau tetap memberikan persembahan terbaiknya.

“Untuk acara hari ini, saya telah ­melakukan persiapan yang lama dan rapi sepanjang latihan tambahan pula SUKMA juga sudah tidak diadakan hampir ­empat ­tahun. Jadi saya agak gementar untuk ­beraksi di perlawanan besar seperti ini.

“Walaupun begitu, saya akan cuba tampilkan aksi yang lebih baik pada acara lain selepas ini,” jelasnya kepada Wilayahku ­sejurus memperoleh pingat gangsa pada ­acara yang ditunggu-tunggu itu.

Tambahnya untuk akan datang, dia akan cuba mempraktikkan teknik yang dipelajari dari pencabar lain dalam memastikan ­dirinya dapat memberikan persembahan terbaik di pentas SUKMA XX.

“Saya banyak belajar dari segi teknik sementara bagi persediaan sebelum ­perlawanan, saya perlu mengawal diri agar tidak terlalu gemuruh untuk ­mengelak ­melakukan kesilapan,” ujarnya yang ­mengharap penyokong tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Terdahulu, dalam saingan Nanquan Wanita, Melaka memenangi pingat emas ­sementara pingat perak pula dimenangi oleh Johor. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas