Biz

Leo cetus inspirasi Villa Kucing UF

NUR AKMAR bersama suami di hadapan kedai mereka
- Diterbit 29 Januari 2024 2:35 PM MYT

KETIKA negara dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020, segala urusan harian menjadi terbatas terutamanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun di sisi lain, kaedah pembelian dalam talian menjadi pilihan utama pengguna sekali gus ia merekodkan peningkatan jumlah peniaga baharu yang sangat menggalakkan.

Keterbatasan pengguna untuk mendapatkan keperluan membuatkan pengeluar berlumba-lumba untuk memasarkan barangan di platform digital seterusnya menjadi trend sehingga ke hari ini.

Tidak terkecuali juga bagi pemilik perniagaan Villa Kucing UF yang dikenali sebagai Nur Akmar Mohamad Tamizi, 38, yang memilih untuk menjalankan perniagaan tempat tinggal kucing moden.

Ujarnya idea tersebut bermula ketika PKP sekitar tahun 2020 di mana suaminya yang juga seorang juruterbang terpaksa berehat seketika susulan sektor penerbangan dihentikan buat sementara waktu.

“Masa itu pintu sempadan banyak negara ditutup. Jadi kami risau jika keadaan berlarutan lama dan hilang sumber pencarian. Apa yang terlintas dalam fikiran cuma ingin menjalankan bisnes dalam talian sahaja sebab kita pun tak boleh keluar rumah.

“Saya memelihara seekor kucing di rumah yang diberi nama Leo. Apa yang saya dapat lihat pencinta kucing akan menjaganya seperti anak. Mereka sanggup beli apa sahaja asalkan si bulus kesayangan selesa.

“Sama seperti saya juga yang ketika itu sibuk mencari tempat tinggal untuk Leo. Saya tengok ramai yang menjual produk tersebut cuma saya agak cerewet. Jadi dari situlah wujudnya perniagaan ini,” ujarnya.

Mengakui pelbagai cabaran dilalui sebelum dapat membuka kedai fizikal yang terletak di Salak Perdana, Sepang pada sekitar tahun 2022, wanita ini berkata pada permulaannya dia dan suami melakukan segala pekerjaan berdua sahaja tanpa bantuan sesiapa.

“Kamilah yang memasang villa, mengangkat dan menghantar kepada pelanggan dengan meminjam pacuan empat roda abang. Memandangkan tiada tempat simpanan untuk menempatkan barangan maka kami menambah atap di ruang belakang rumah.

“Sejujurnya bagi saya kalau kita tak bermula takkan tahu di mana kekuatan yang ada. Tidak kisahlah berapa banyak saingan sekalipun tetapi yang paling penting kita tahu apa istimewanya produk yang dipersembahkan kepada pembeli. Bagi saya kualiti adalah paling utama,” kongsinya yang kini telahpun membeli sebuah lori untuk memudahkan penghantaran produk.

Tambahnya, kebanyakan pelanggan adalah mereka yang pernah membeli villa kucing daripadanya sebelum ini. Malah rata-ratanya mengakui harga yang ditawarkan berpatutan selain kualiti kayunya yang tahan air serta tahan lasak.

“Alhamdulilah syukur kerana sokongan daripada pelanggan juga membuatkan perniagaan ini berkembang maju dan insya-Allah lebih banyak lagi kejayaan yang bakal dikecapi pada tahun mendatang,” ujarnya mengakui menggunakan konsep try and adjust sebelum memilih produk yang betul-betul mendapat sambutan.

Siapa sangka hanya bermodalkan RM10,000 kini perniagaannya berjaya mencatat jualan mencecah lebih RM100,000 setiap bulan.

“Pada tahun ini fokus utama kami adalah untuk mengukuhkan jenama selain memberi tumpuan terhadap satu lagi cabang bisnes iaitu UF Cat Hotel yang menyediakan tempat penginapan serta dandanan kucing,” ujarnya yang mempunyai lima orang kakitangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas