Biz

Sasar jualan RM20 juta… ABXGR24 bawa 120 selebriti, 900 tapak jualan

- Diterbit 28 Januari 2024 6:19 PM MYT

FESTIVAL raya terbesar,  Absolute Bazaar X Gaya Raya 2024 (ABXGR24) kali ketiga bakal berlangsung tidak lama lagi.

Apa yang menarik, penganjuran kali  ini membawa lebih 900 tapak jualan dan melibatkan lebih 120 selebriti dengan persembahan dan promosi seperti cabutan bertuah sepanjang acara berlangsung.

Penganjur bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif My Events, Hemma Candy berkata, festival ini akan berlangsung selama 66 jam tanpa henti sepanjang empat hari dalam bulan Ramadan, yang bermula 29 Mac ini hingga 1 April depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Beliau berkata, pihaknya turut menetapkan sasaran dua juta pengunjung selepas seramai 1.6 juta pengunjung hadir memeriahkan festival itu tahun lalu bagi menikmati pengalaman membeli belah yang selesa di bawah satu bumbung.

Seiring dengan itu, pihak penganjur mengharapkan hasil keuntungan sebanyak RM20 juta daripada pempamer.

“ABXFGR terus berkembang secara progresif pada kadar 25 peratus setiap tahun dan pencapaian ini memberikan peluang yang baik kepada usahawan dan pemilik perniagaan kecil terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Dengan kepesatan peningkatan seperti ini, ABXFGR menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka serta membina rangkaian perniagaan yang lebih meluas,” katanya pada pelancaran festival itu baru-baru ini.

Turut hadir, penganjur bersama yang juga Pengarah Absolut Event & Management Sdn. Bhd., Ben Ali.

ABXGR24 dianjurkan bersama oleh My Events International dan Absolut Event & Management.

Menurut Hemma lagi, menyedari keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan, pihaknya menawarkan banyak keistimewaan kepada para pengunjung termasuklah diskaun harga.

“Saya faham dengan keadaan ekonomi sekarang, tentu ada yang fikir bagaimana hendak buat persiapan hari raya.

“Jangan risau, kami pun sudah berbincang dengan para usahawan yang terlibat, kami akan mengadakan happy hour dan juga diskaun pada harga barangan yang dijual. Dalam masa yang sama, rata-rata harga yang ditawarkan pun adalah mampu milik.

“Inilah antara keunikan dan alasan kenapa orang ramai perlu ke festival anjuran kami ini,” katanya.

Selain itu, penganjur juga mengumumkan barisan Penaja Bersama yang terdiri daripada Wardah, Hermo, NIMS, Minaz, Buttonscarves, Panasonic, Ainaa, Sugar Bomb, Super Sky, Kunafa Aiwahhh dan Bulan Bintang.

 

Tidak hanya terhad kepada sektor pakaian, kecantikan, dan makanan, ABXFGR tahun ini turut memberikan peluang kepada sektor elektronik dan pelbagai sektor lain.

Program penuh warna ini akan menyajikan lebih banyak aktiviti kejutan yang menarik.

KETUA Pegawai Eksekutif My Events, Hemma Candy

 

PENGARAH Absolut Event & Management Sdn. Bhd., Ben Ali.

Pada masa sama, Hemma memberitahu antara tarikan utama adalah mini Absolut FoodFest yang dianggarkan melebihi 80 vendor yang akan menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa atau bersahur menjadikan menjadikan ABxFGR24 sebagai destinasi ideal membeli-belah menjelang Syawal.

“Sebagai tambahan, kami turut untuk mengadakan ABxFGR24 di Johor seminggu sebelum acara di Kuala Lumpur.

“Ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada komuniti setempat untuk turut menyertai dan menikmatikegembiraan festival ini. Festival raya di Johor ini akan berlangsung pada 22 hingga 24 Mac ini di Persada Johor,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas