Singgah

Lokasi ‘healing’ di tengah taman

- Diterbit 29 Januari 2024 2:56 PM MYT

BAGI mereka yang ingin mencari lokasi ‘healing’ tersembunyi di Putrajaya disarankan untuk meluangkan masa ke Gua Juicery yang terletak di tengah-tengah Taman Botani.

Mempunyai reka bentuk seakan gua menjadikannya tumpuan pelancong luar dan dalam negara sejak ia mula dibuka pada Disember 2023 yang lalu.

Menurut pemiliknya, Mohd Iqbal Kamaruddin, 34, pada asalnya ia adalah sebuah rain shelter buat pengunjung yang melakukan aktiviti riadah di kawasan tersebut di mana ia telah wujud lebih 10 tahun lalu.

“Atas inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) yang mahu tempat ini menjadi tarikan pengunjung maka wujudnya Gua Juicery,” katanya struktur asal tersebut diberi sedikit penambahbaikan.

Iqbal berkata memandangkan ia terletak di tengah-tengah Taman Botani, maka mereka mengetengahkan segala elemen yang terdapat di taman tersebut di dalam menu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Wilayahku Rasmi (@wilayahku.com.my)

“Seperti yang semua ketahui, di Taman Botani terdapat juga seksyen edible garden seperti buah-buahan dan ulam-ulaman, jadi kami cuba tonjolkan keunikan tersebut melalui makanan dan minuman.

“Secara tidak langsung kita sajikan makanan sihat kepada pelanggan dan sekali gus mereka juga mengetahui sedikit sebanyak tentang keunikan taman ini,” ujarnya.

Berpengalaman selama lima tahun di dalam industri makanan dan minuman (F&B), Iqbal berkata pihaknya hanya menawarkan menu yang mudah, ringkas dan cepat supaya pelanggan tidak mengambil masa yang lama untuk menunggu.

“Dua perkara utama yang pelanggan akan mengeluh adalah dari segi layanan dan juga harga. Kalau kita dapat tackle salah satu, jadi kita dapat bertahan dengan gelombang viral kerana tular adalah satu perkara dan untuk mengekalkan momentum itu juga satu perkara lain.

“Antara menu yang paling laris di sini adalah jus mangopine manakala untuk smoothies kita ada dragon berries. Untuk makanan pula pelanggan memilih panini rasa Malaysia selain untuk manisan kita ada kayaria bagels dan pinana butter.

“Panini rasa Malaysia adalah keunikan kita di mana salad diganti dengan ulam-ulaman dan untuk rasa pedas kuah masak lemak digunakan,” ujarnya rata-rata pelanggan pasti tidak melepaskan peluang mencuba menu tersebut.

Berkongsi soal harga, Iqbal berkata sasaran utama adalah untuk semua golongan yang berkunjung di Taman Botani.

“Untuk minuman harga bermula serendah RM7 manakala untuk makanan RM8 tetapi ia berbeza berdasarkan menu pilihan anda,” ujarnya Gua Juicery mampu menempatkan 45 pelanggan dalam satu masa.

Keselesaan pelanggan

Pihak Gua Juicery tidak bercadang untuk meluaskan kafe tersebut namun akan menaik taraf agar pelanggan terus selesa dengan penambahan penyejuk udara.

“Setakat ini maklum balas yang diterima positif namun ada beberapa penambahbaikan yang kami perlu ambil berat dari segi rasa dan juga variasi menu kerana pelanggan perlu berjalan dalam 700 meter untuk ke Gua Juicery dari tempat letak kereta.

“Kami akan lakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan menu apa yang sesuai untuk diketengahkan lagi,” katanya yang berpegang untuk sentiasa membawa keunikan dalam sesebuah perniagaan bagi menarik pelanggan.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi, Iqbal berkata antara yang sukar adalah untuk mendengar maklum balas dan melakukan penambahbaikan.

“Cara kita bermula tak semestinya cemerlang, pasti akan ada maklum balas negatif daripada pelanggan, apa yang kita perlu lakukan adalah untuk terus tambah baik.

“Kami juga dalam perancangan menghasilkan jus untuk diletakkan dalam mesin layan diri. Putrajaya adalah kawasan rekreasi dan riadah jadi dengan mesin tersebut mereka yang beriadah di awal pagi, lewat petang atau malam boleh membeli produk Gua Juicery juga.

“Selain itu, kita juga akan membawa masuk menu berasaskan kelapa untuk masa akan datang selain waktu operasi yang baharu juga akan diumumkan bagi memberi ruang buat pihak kami melakukan persiapan selain memberi peluang kepada pelanggan dari jauh untuk ke kedai kami,” jelasnya. – WILAYAHKU

(Foto oleh SYUQQREE DAIN, video oleh HASIF HALIMI)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas