Berita

Lelaki maut ditembak dari jarak dekat di Bandar Sunway

- Diterbit 14 Jun 2023 2:30 PM MYT

SEORANG lelaki maut ditembak dari jarak dekat di sebuah kedai aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.35 tengah hari itu, mangsa berusia 32 tahun maut terkena dua das tembakan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata ketika pihaknya tiba di tempat kejadian, mangsa didapati terlantar dalam keadaan berlumuran darah dan dikejarkan ke hospital.

“Mangsa disahkan meninggal dunia apabila sampai di Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azlan berkata siasatan awal mendapati suspek yang terdiri daripada tiga lelaki memasuki premis berkenaan dan seorang daripada mereka telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang mempunyai rekod jenayah samun dan curi.

“Pihak Forensik telah hadir ke tempat kejadian dan menjumpai dua kelongsong peluru, satu serpihan peluru, satu anak peluru dan sepasang selipar di tempat kejadian.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain polis juga menyiasat jika terdapat sebarang penglibatan kongsi gelap dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Wan Azlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden itu agar menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas