Berita

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh 30 meter Lebuhraya SUKE

- Diterbit 14 Jun 2023 2:45 PM MYT

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terjatuh daripada ketinggian 30 meter di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) tengah hari tadi akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 tengah hari itu lelaki berusia 60-an yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale dalam perjalanan dari arah Ampang ke Hulu Klang.

Beliau berkata ketika mangsa melalui jalan berselekoh terdapat sebuah motosikal dari arah bertentangan di bahu sebelah kanan jalan, menyebabkan mangsa cuba untuk mengelak lalu terus melanggar penghadang sebelah kiri jalan.

“Kesan dari pelanggaran telah menyebabkan mangsa terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter dan motosikal yang ditunggang terseret ke tengah jalan.

“Mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang Stesen Kawalan SMART Sungai Klang dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata polis sedang meneliti sistem kamera litar tertutup SUKE untuk mengenal pasti penunggang motosikal yang melawan arus berkenaan yang telah melarikan diri.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

Polis juga meminta mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat kejadian di balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Insp Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas