Berita

Lebaran bermakna buat peserta Kebun Bandar Hijrah Warrior

PENGHUNI Anjung Kelana mengusahakan pertanian bandar di bekas tapak Desa
- Diterbit 17 Mei 2021 2:13 AM MYT

AIDILFITRI tahun ini membuka lebaran baharu untuk gelandangan yang menjadi peserta Program Kebun Bandar ‘Hijrah Warrior’ apabila ada dalam kalangan mereka ditawarkan pekerjaan di ladang ternakan dan pertanian di sebuah ladang di Janda Baik, Pahang selepas lebaran ini.

Abdul Jalil Abdullah, 51, menganggap ia ibarat satu sinar baharu dan bersyukur dengan peluang yang diberikan itu dan berharap ia akan menjadi titik mula penghijrahan dirinya selepas lebih dua tahun bergelar insan gelandangan.

“Alhamdulillah hasil bantuan sokongan sosial dan ilmu serta latihan asas pertanian yang dipelajari melalui Program Kebun Bandar Hijrah Warrior di Pusat Transformasi Anjung Kelana, Taman Desa sejak lebih dua bulan lalu, ada pihak yang sudi menawarkan kami pekerjaan.

“Program cetusan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa ini banyak memberi kemahiran dan pengetahuan pertanian kepada golongan gelandangan sekali gus membantu kami untuk membaiki kualiti kehidupan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Mengimbas kembali, Abdul Jalil yang berasal dari Pulau Pinang berkata beliau tiba di ibu negara pada tahun 2019 dengan harapan untuk mencari pekerjaan dengan bayaran gaji yang lebih setimpal bagi menampung keluarganya.

Bagaimanapun, lelaki itu terpaksa membuat keputusan untuk berhenti selepas enam bulan bekerja kerana majikan tidak membayar gaji menyebabkannya tidak dapat membayar rumah sewa dan menampung kehidupan sehingga terpaksa merempat di jalanan.

Demi meneruskan kehidupan, beliau terpaksa mengutip botol plastik dan tin kosong yang hasilnya cukup-cukup untuk membeli makanan untuk mengalas perut.

Menceritakan tentang sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Abdul Jalil berkata hati mana yang tidak terusik apabila terpaksa menyambut raya jauh dari sisi keluarga, namun mujurlah ada NGO dan rakan gelandangan yang senasib membantu menceriakan suasana.

Seorang lagi gelandangan yang ditawarkan bekerja di tempat sama, Mohd Faizal Abdullah, 37, berkata beliau terpaksa hidup seperti gelandangan sejak setahun lalu kerana keluarganya sudah tidak lagi menerimanya setelah dirinya memeluk agama Islam.

Sama seperti Abdul Jalil, beliau juga menjadi gelandangan selepas berhenti kerja kerana tidak dibayar gaji oleh majikan dan usahanya untuk mencari pekerjaan menemui jalan buntu ekoran keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Aidilfitri baru-baru ini cukup bermakna buat dirinya apabila dimaklumkan dia mendapat tawaran kerja di Janda Baik bersama Abdul Jalil dan berharap hidupnya akan menjadi lebih baik selepas ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas