Berita

Afieq Shazwan rindu rumah terbuka

- Diterbit 16 Mei 2021 11:00 PM MYT

BERBEZA dengan yang lain, penyanyi dan pelakon Afieq Shazwan, 23, mengaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) tidak mengganggu sambutan hari raya bersama keluarga.

“Saya beraya bersama keluarga besar saya dan kami tinggal serumah. Adik-beradik saya semua sudah berkahwin tetapi kami tinggal bersama, jadi tidak timbul soal merentas negeri.

“Cuma bezanya, kami selalu konvoi beramai-ramai untuk beraya, tetapi kali ini tidak mungkin kerana perlu patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Apa yang paling saya rindu adalah menghadiri rumah terbuka yang tidak dapat dilakukan dalam tempoh PKP.

” Kebiasaannya saya dijemput menyanyi dalam acara rumah terbuka, rindu nak menyanyi di atas pentas,” ujar Afieq Shazwan.

Dalam situasi sekarang, Afieq akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak membenarkan aktiviti bersemuka.

“Rumah terbuka tidak dibenarkan dalam tempoh PKP demi kebaikan semua. Iyalah, agak sukar untuk masyarakat mematuhi SOP apabila menghadiri majlis yang melibatkan ramai orang,” ujarnya lagi yang popular dengan lagu Darjat dan Lelaki Di Telefon. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas