Artikel

Hari Keluarga MCMC: Kukuhkan semangat kebersamaan

- Diterbit 1 Disember 2023 2:55 AM MYT

SUASANA kerja yang lebih kondusif serta latihan di samping komunikasi dan hubungan baik dengan majikan merupakan kunci utama sesebuah organisasi dilihat berjaya.

Turut mengaplikasikan perkara tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh dikategorikan sebagai sebuah organisasi yang memenuhi kriteria tersebut lantas berjaya dianugerahkan Best Employer Brands Awards 2023.

Meniti usia 25 tahun penubuhannya, MCMC menganjurkan Hari Keluarga baru-baru ini bagi meraikan seluruh pegawai dan kakitangannya yang beroperasi di seluruh negara sekali gus dapat meningkatkan semangat dan jati diri warganya untuk melaksanakan tugas yang lebih mencabar.

Taman Tema Splash Mania Gamuda Cove menjadi pilihan sambutan Hari Keluarga yang berjaya menghimpunkan lebih daripada 2,600 orang termasuklah dari Sabah dan Sarawak.

Seawal pukul 8 pagi, tirai sambutan Hari Keluarga dimulakan dengan persembahan nyanyian daripada residen artis MCMC sendiri yang terdiri daripada Ahad, Shada, Tahir, Heldora, Muiz, Amirul dan ramai lagi.

Sejurus itu, ia dimeriahkan dengan persembahan poco-poco dan zumba. Keseronokan tidak berhenti di situ apabila acara permainan telematch mengambil bahagian dengan pelbagai hadiah menarik menanti pemenang.

Hari Keluarga yang diadakan bukanlah sekadar meraikan Hari Ulang Tahun MCMC yang ke-25, namun ia turut menjadi platform memupuk hubungan kekeluargaan dan ikatan yang erat antara warga MCMC.

Dalam masa yang sama, Sambutan Hari Keluarga MCMC di Splash Mania, Gamuda Cove turut menyulam semangat kebersamaan dan kegembiraan sekali gus memperkukuhkan lagi ikatan di antara mereka untuk masa hadapan.

Selain daripada aktiviti di taman tema, program cabutan bertuah turut diadakan di mana hadiah utama berupa motosikal edisi terhad yang dimenangi oleh Muhammad Firdaus Soed dari Bahagian Audit Dalam MCMC.

Dia yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan MCMC berkata hadiah utama yang dimenanginya adalah satu kejutan namun bersyukur kerana namanya diumumkan ketika Sambutan Hari Keluarga.

“Saya memang tidak pernah menyangka kerana sejak bekerja dengan MCMC, saya telah berpindah ke tiga jabatan dan ini adalah pertama kali memenangi hadiah cabutan bertuah,” katanya.

Muhammad Firdaus turut menyifatkan MCMC mempunyai barisan kepimpinan yang bertanggungjawab dan peka terhadap kebajikan semua kakitangan tidak kira pangkat.

“MCMC adalah sebuah organisasi yang terbaik dan ramai yang enggan berpindah kerana selain keselesaan, pihak pengurusan juga sangat mementingkan kebajikan pekerja,” katanya.

Terdahulu, hadiah utama tersebut disampaikan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Salim Fateh Din selain turut dihadiri Ahli Suruhanjaya MCMC, Datuk Lim Thean Shiang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas