Berita

Latihan berpusat dibenar bagi pasukan MFL, MHL dan STL – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri
- Diterbit 9 Februari 2021 11:17 AM MYT

KERAJAAN membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) mulai 15 Feb (Isnin).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah perbincangan dan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tempat latihan dan pergerakan atlet/pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penginapan atlet/pemain juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu ‘kuarantin di kem’ dan ‘kuarantin di rumah’ seperti yang telah ditetapkan.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah membentangkan cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan tahap kesihatan diri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata penelitian akhir sedang dibuat dan keputusan akan diumum dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga membuat keputusan membenarkan operasi sektor industri kreatif bermula esok.

Senarai aktiviti terlibat adalah produksi animasi/muzik, pascaproduksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio dan penggambaran praproduksi.

Turut dibenarkan penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitcom, livestreaming, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Katanya, SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my/  – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas