Berita

KSU KWP turun padang tinjau harga barang keperluan harian di ibu kota

TINDAKAN proaktif pengurusan KWP turun padang untuk memastikan bekalan keperluan mencukupi dan harga yang tidak membebankan pengguna.
- Diterbit 19 Ogos 2022 7:34 AM MYT

KETUA Setiausaha (KSU) Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar menjalankan pemantauan bagi meninjau harga barangan keperluan di beberapa kedai runcit sekitar Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam dalam satu operasi pada Khamis.

Beliau berkata tindakan itu diambil selaras dengan arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di dalam Mesyuarat Pasca Kabinet peringkat KWP Rabu lalu yang mahu memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan berkenaan dan tidak membebankan pengguna.

Katanya, meskipun tindakan pemantauan itu merupakan bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pihaknya mengambil inisiatif tambahan bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi terutama di Kuala Lumpur.

“Sepanjang pemantauan di empat buah kedai runcit, kami mendapati peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, bahkan ada beberapa barangan dijual di bawah harga kawalan.

“Kami juga dapati minyak masak paket agak sukar didapati di sini dan beberapa premis sudah putus bekalan minyak masak paket serta tepung gandum sejak dua minggu lalu dan ia akan diadukan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Wilayahku selepas operasi pemantauan itu pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kanan 1, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Muzammer Jamaluddin dan Timbalan Setiausaha Bahagian Sosio Ekonomi KWP, Mohd Mahyuddin Yahya.

Menjelas lanjut, Rosida berkata walaupun pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan, teguran dan nasihat akan diberikan sekiranya didapati ada peniaga peniaga yang melanggar peraturan dan akta berkaitan.

“Ada satu kedai yang kita dapati berlaku sedikit peningkatan harga dan kita telah menegur.

“Selanjutnya kami mungkin akan memaklumkan kepada KPDNHEP untuk tindakan susulan kerana punca kuasa di bawah kementerian tersebut,” katanya.

Tambahnya, peningkatan harga ini mungkin tidak berlaku setiap hari namun mereka terpaksa berbuat demikian ekoran terpaksa membeli bahan mentah pada harga yang agak tinggi menyebabkan mereka terpaksa menaikkan sedikit harga barang.

Menurut Rosida, pihaknya akan turun secara agresif setiap hari di semua kawasan parlimen bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan membeli dengan harga yang dikawal kerajaan.

“Kita akan turun padang secara berjadual dan ia tidak dihebahkan kepada orang ramai kerana ia dilaksanakan secara ad hoc sahaja bagi mengelakkan golongan peniaga menyelaraskan harga sebelum ketibaan pihak pemantau.

“Operasi ini melibatkan semua Timbalan KSU, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) serta pegawai kanan agensi masing-masing,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mengambil kesempatan itu untuk menyemak pekerja asing yang diupah peniaga bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan mendapati peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas