Berita

YWP bantu bapa enam anak

NAZRUL (kiri) menerima sumbangan daripada Pengurus Kanan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T), YWP, Zahrulail Abdul Rahman (kanan). Turut serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar (tengah).
- Diterbit 19 Ogos 2022 7:01 AM MYT

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Itu yang dialami oleh bapa kepada enam orang cahaya mata, Nazrul Ismail yang tidak henti-henti diuji dengan kesempitan kewangan dalam membesarkan anak-anak.

Paling menyedihkan dua orang daripada anaknya yang berumur lima tahun dan tiga bulan menghidap penyakit jantung berlubang dan memerlukan bantuan. Selain itu, anak sulung dan yang kedua masing-masing berumur 17 dan 16 tahun pula terpaksa berhenti sekolah kerana dia tidak mampu menanggung belanja persekolahan.

Hanya anak ketiga yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran sahaja yang masih bersekolah di tingkatan dua di SMK Seri Permaisuri, Cheras sementara anak kelimanya baru berumur empat tahun.

Dia yang hanya bekerja menjual murtabak di hadapan rumah dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan tidak mampu menyara kehidupan mereka sekeluarga dan terbaharu diarahkan keluar dari rumah sewa kerana tuan rumah tersebut mahu menjual kediaman itu.

Prihatin dengan kesukaran hidup yang terpaksa ditanggung oleh Nazrul sekeluarga, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menghulurkan sumbangan Bantuan Khas Persekolahan buat anak-anaknya baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, pihaknya mendapat makluman dari pejabat wakil rakyat yang mengatakan pemohon memerlukan sedikit sumbangan untuk menanggung perbelanjaan dan kelengkapan keluarganya.

“Saya difahamkan keluarga ini sedang berdepan dengan pelbagai dugaan yang besar dalam hidup lebih-lebih lagi kedua-dua orang anaknya sedang bertarung dengan penyakit jantung berlubang.

“Untuk itu, YWP juga akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu untuk menyekolahkan kembali dua orang anaknya yang telah berhenti sekolah,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambah Zaizalnizam, beliau turut bersyukur apabila pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berbesar hati membantu membayar sewa rumah sebanyak RM800 sebulan.

“Saya tumpang simpati dengan nasib yang menimpa Nazrul dan berharap agar bantuan yang dihulurkan ini dapat mengurangkan kesedihan, kesusahan serta permasalahan yang dialami olehnya sekeluarga,” ujar beliau. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas