Berita

Penduduk Kampung Pantai rayu caj tukar status tanah dikurangkan

OPENG menunjukkan keadaan semasa tanah miliknya yang terbiar
- Diterbit 10 Mei 2024 11:24 AM MYT

PENDUDUK Kampung Pantai di sini merayu kerajaan untuk mengurangkan caj pertukaran status tanah pertanian mereka kepada komersial atau perindustrian.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pantai, Ramlan Abidin, cadangan untuk menukar status tanah yang dimiliki oleh penduduk kampung itu dibuat berdasarkan peluang yang luas jika tanah tersebut di usahakan sebagai kawasan perindustrian.

Katanya, tanah yang diwarisi dari nenek moyang adalah berstatus pertanian dan tidak releven pada masa ini memandangkan sektor tersebut tidak mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk.

“Tanah yang dimiliki berkeluasan kurang daripada satu ekar sahaja. Dengan keluasan tanah yang ada, agak mustahil untuk kami usahakan aktiviti pertanian  dan berpandangan untuk menukar kepada status perindustrian supaya ia dapat dimanfaatkan dengan peluang yang ada.

“Namun untuk menukar status tanah ia memerlukan perbelanjaan yang amat besar dan sebagai orang kampung, kami tidak mampu untuk menanggung kos itu,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau yang turut mewakili kira-kira 10 penduduk kampung menzahirkan harapan agar kerajaan dapat membantu dengan mengurangkan caj pengurusan yang agak membebankan untuk urusan berkenaan bagi meningkatkan ekonomi penduduk kampung.

“Jika diberikan kelonggaran dan peluang, kami sebagai pemilik tanah sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berwajib.

“Sekiranya kelulusan itu diberikan dengan bersyarat seperti dikenakan kadar dan tarif (cukai dan utiliti) komersial kami bersedia dan sanggup membayar kerana apabila tanah ini telah bertukar status, maka kami boleh mengusahakan tanah ini dalam pelbagai bentuk perniagaan yang bersesuaian,”katanya.

Sementara itu, Openg Abidin, 52, menyatakan cadangan menukar status tanah itu dilihat mampu membawa manfaat kepada ekonomi Labuan dengan kutipan hasil cukai yang akan meningkat berbanding dengan kadar cukai tanah pertanian

“Secara umumnya penduduk yang mempunyai tanah tidak lagi melihat sektor pertanian sebagai punca pendapatan kerana potensi Labuan adalah kepada perindustrian.

“Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, sudah pasti dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang ramai pemilik tanah yang juga penduduk asal di sini menjual tanah mereka kepada pihak luar kerana tidak dapat di usahakan.

“Sebelum ini, kami pernah mendapat pelbagai tawaran penyewaan daripada syarikat minyak dan gas, namun ia terhalang disebabkan status tanah. Kami faham dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, namun sebagai penduduk kampung yang rata-ratanya tidak berkemampuan untuk menanggung caj proses tersebut yang melibatkan lebih RM50,000,”katanya.

Bagi Md Salleh Sawi, 44, menyifatkan isu yang dihadapi sekian lama setiap kali permohonan untuk menukar status tanah akan terhenti disebabkan caj pengurusan yang dikenakan amat membebankan.

“Kami tahu dengan akta dan undang-undang yang ada, namun memohon pihak kerajaan memahami keadaan kami kerana kebanyakan penduduk di sini berpendapatan rendah dan terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Disebabkan status tanah itu, saya mahu membangunkan rumah kediaman juga tidak dibenarkan dan amat sulit untuk membangunkan tanah kami sendiri jika ia masih dalam status tanah pertanian,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas