Berita

KPM digesa pertimbang operasi pusat tuisyen

|||
- Diterbit 10 Februari 2021 11:53 AM MYT

PENGUSAHA pusat tuisyen di seluruh negara kini berdepan kemungkinan gulung tikar setelah tidak dapat beroperasi sejak Mac tahun lalu berikutan penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi berkata, semua 60 pengusaha pusat tuisyen yang berdaftar seluruh negara telah menyambut baik arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menghentikan operasi di kawasan PKP.

PENGERUSI Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi.

Namun katanya, berrdasarkan tinjauan dilakukan, dapatan sebahagian besar ibu bapa menzahirkan kebimbangan pencapaian anak-anak mereka kini makin merosot susulan penutupan sekolah serta institusi pendidikan seperti pusat tuisyen dalam tempoh yang lama.

Sektor perkhidmatan pendidikan katanya, antara institusi yang diarah menghentikan operasi bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Kami akur arahan KPM supaya tidak membuka kelas tuisyen secara bersemuka, malah ada pula diantara pengusaha mengambil inisiatif terkini dengan menjalankan kelas secara maya.

“Seperti kita sedia maklum, pusat tuisyen adalah salah satu industri yang menyumbang ekonomi negara selain membantu meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar.

“Jadi saya mewakili pengusaha pusat tuisyen di seluruh Malaysia berharap jika keadaan COVID-19 ketika ini sudah agak terkawal, saya mohon agar KPM mempertimbang dan umum pembukaan
semula pusat tuisyen pada kadar segera sebelum pembukaan sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malaysia tidak terkecuali apabila terpaksa depani penularan pandemik COVID-19 sehingga kerajaan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 18 Mac 2020.

Rentetan itu, kebanyakan sektor ekonomi turut terpaksa ditutup kecuali beberapa perkhidmatan penting sahaja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.

Situasi dialami kata Syafizzal, telah menjejaskan operasi kebanyakan pengusaha pusat tuisyen di seluruh negara termasuk yang baharu mendapat kebenaran operasi semasa PKPP dahulu.

“Namun kebenarannya tidak bepanjangan kerana pelaksanaan semula PKP 2.0 pada awal tahun ini, gugat semula kelangsungan operasi mereka.

“Jadi bagi mengelak industri ini terus suram dan mengambil langkah tutup perkhidmatan, saya memohon pihak KPM mempertimbang keadaan semasa, sekiranya terkawal maka benarkan kami beroperasi semula.

” Segala jasa baik dan keprihatinan pihak yang berwajib dalam perkara ini, kami amat hargainya didahului ucapan terima kasih,” katanya sambil membayangkan kemungkinan semua 60 ahlinya berdepan kerugian dan dalam situasi kewangan defisit hampir setahun. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas