Berita

KPLB dan YPM peruntuk 300 unit tablet untuk pelajar terjejas akibat banjir, COVID

- Diterbit 10 Februari 2021 11:47 AM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan 300 unit tablet untuk keperluan pelajar golongan B40 di empat negeri yang terkesan akibat banjir dan pandemik COVID-19.

Unit Komunikasi Korporat KPLB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, usaha itu bakal memanfaatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 di Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan di rumah mahupun di lokasi yang sesuai bagi meminimumkan keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar terutama di kawasan luar bandar.

“Kerajaan juga menyedari kepentingan alat peranti dan talian internet kini menjadi satu keperluan bukan sahaja untuk setiap rumah tetapi pelajar tidak kira sama ada di peringkat tadika sehinggalah ke peringkat universiti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pada majlis hari ini, sebanyak 30 unit tablet (RM600 seunit) diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif YPM Datuk Dr Mohd Nizar Sudin kepada Ketua Setiausaha KPLB Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus manakala baki tablet akan diserahkan kepada negeri dan golongan yang dikenal pasti secara berperingkat.

YPM memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi pembelian tablet untuk disumbangkan kepada pelajar yang layak.

“KPLB dan YPM akan memastikan pelbagai inisiatif terutama dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan untuk masyarakat terutama di kawasan luar bandar bagi membolehkan akses kepada pendidikan dapat diutamakan bagi melahirkan generasi berpengetahuan yang akan menyumbang kepada negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas