Berita

KPKT selesaikan 11,361 kes TPPS pada 2023, tertinggi dalam sejarah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 30 Januari 2024 12:10 PM MYT

SEBANYAK 11,361 kes Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) berjaya diselesaikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lepas dalam menangani isu pertikaian perumahan dan pengurusan strata.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu 1,331 kes melibatkan tuntutan pembeli rumah manakala 10,030 kes melibatkan tuntutan pengurusan strata.

“Jumlah kes yang berjaya diselesaikan adalah 99.87 peratus atau 11,361 kes pada tahun 2023. Ini merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata rekod pendaftaran kes bagi kedua-dua tribunal yang paling tinggi juga dicatatkan pada 2023 iaitu 11,263 kes didaftarkan berbanding 9,617 kes pada tahun sebelumnya.

Fokus utama TPPS adalah untuk menyelesaikan pertikaian dan mengadili tuntutan pembeli rumah dan pengurusan strata secara berintegriti, kos efektif dan dalam tempoh masa yang singkat.

TPPS dipertanggungjawab untuk menyelesaikan kes tuntutan pembeli rumah dan pengurusan strata dengan petunjuk prestasi utama (KPI) 110 hari bekerja dari tarikh pemfailan kes bagi tuntutan di tribunal tuntutan pembeli rumah, dan menyelesaikan tuntutan di tribunal pengurusan strata dalam masa 150 hari bekerja dari tarikh pemfailan kes.

Nga berkata sistem e-TPS yang dilancarkan pada 12 Sept lepas mencatatkan sebanyak 1,500 kes yang difail orang awam secara dalam talian melalui sistem itu sehingga kini.

Beliau berkata sistem itu lebih mudah dan menjimatkan masa serta kos memandangkan pemfailan tuntutan dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian tanpa hadir secara fizikal ke kaunter TPPS.

Justeru, Nga berkata KPKT sejak tahun lepas mengambil inisiatif mengadakan sesi libat urus bersama Pesuruhjaya Bangunan Pihak Berkuasa Tempatan untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang fungsi TPPS secara lebih meluas, malah kempen itu turut diadakan di kawasan-kawasan perumahan yang baru diserahkan milikan kosong. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas