Berita

Kesinambungan AKM menerusi Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri

ORANG ramai juga berpeluang berkunjung ke booth-booth kementerian di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia. ORANG ramai juga berpeluang berkunjung ke booth-booth kementerian di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
- Diterbit 14 Disember 2021 12:15 PM MYT

PENGANJURAN program dan inisiatif seumpama Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) akan diteruskan menerusi Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penganjuran program berkenaan akan diadakan melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama untuk Keluarga Malaysia di seluruh negara.

“Ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap merumuskan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada Ahad lalu.

Beliau berkata program yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu menyaksikan sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 103,000 pengunjung berbanding sasaran 20,000 pengunjung.

Tambahnya, program julung kali yang melibatkan penyertaan oleh semua Kementerian dan Agensi berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebanyak 31 booth pameran Kementerian yang terdiri daripada 26 Kementerian dan lima (5) agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan 102 jualan gerai usahawan termasuk aktiviti seperti pameran Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) & Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Sukan Rakyat dan pertandingan e-sukan (e-sport) telah menjadi tarikan utama para pengunjung,” ujarnya.

Jelasnya Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia telah menawarkan 24,136 pelbagai jawatan daripada 75 majikan di mana seramai 3,628 peserta daripada 4,005 yang berdaftar telah dipanggil menghadiri temuduga dan 2,690 orang berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon.

Manakala Program Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia pula, Mohd Zuki berkata lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), para pelajar dan ibu bapa yang hadir diberi peluang untuk mendapatkan maklumat, tawaran secara langsung untuk memasuki Program Asasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di samping menerima bantuan berbentuk komputer riba, bantuan tunai, pelan data dan lain-lain lagi.

Sementara itu, beliau berkata ekoran sambutan luar biasa pembayaran saman PDRM dan JPJ, kerajaan mengumumkan diskaun pembayaran saman 80 peratus akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

“Orang ramai boleh membuat semakan dan pembayaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) / Kontinjen seluruh negara serta secara dalam talian.

“Setakat ini, sejumlah 2,326,403 saman telah dijelaskan dengan nilai RM109,297,180. Manakala, diskaun pembayaran kompaun saman JPJ pula dilanjutkan sehingga 15 Disember 2021,” tambahnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas