Berita

Keselamatan, kerahsiaan maklumat PADU terjamin dari kebocoran

- Diterbit 23 Mac 2024 10:45 PM MYT

KESELAMATAN dan kerahsiaan maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah terjamin daripada kebocoran hingga kini, yang diselenggara sepenuhnya oleh agensi Jabatan Digital Negara (JDN) iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, PADU melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga mengendalikan melalui prosedur yang ditetapkan.

“Saya menyeru semua mengambil peluang untuk membuat pengemaskinian PADU dan tidak menunggu saat akhir. Maklumat PADU ini akan membantu kerajaan membuat perancangan program masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media pada lawatannya ke kaunter PADU di Masjid Al Masyhoor Padang Siding di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan secara kumulatif sebanyak 1,006 kaunter fizikal PADU telah dibuka di Perlis termasuk program bersama komuniti serta Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dari 2 Januari lepas hingga hari ini.

“Selain itu, ada juga pembukaan kaunter bergerak di 101 masjid di negeri ini terutamanya pada setiap Jumaat,” katanya yang turut memberitahu pendaftaran PADU di Perlis meningkat kepada 0.08 juta orang setakat semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas