Berita

Kertas siasatan Awie dipercayai langgar SOP hampir lengkap

AWIE dipercayai telah melanggar SOP dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka. Kredit foto oleh: Malaysian Update AWIE dipercayai telah melanggar SOP dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka. Kredit foto oleh: Malaysian Update
- Diterbit 25 Mei 2021 3:27 PM MYT

KERTAS siasatan terhadap penyanyi rock Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu majlis di sebuah hotel di negeri ini, hampir lengkap.

Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah berkata pihaknya akan merujuk kertas siasatan itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi tindakan seterusnya.

“Kita sedang memanggil saksi-saksi yang terdapat dalam gambar yang tular itu dan apabila telah lengkap, kita akan rujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tunggu arahan selanjutnya,” katanya pemberita selepas memantau pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Razali berkata selain Awie, pihaknya juga sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP oleh beberapa selebriti dan orang kenamaan yang tular di media sosial termasuk pemimpin politik wanita di negeri ini.

Sementara itu beliau berkata tiada lagi diplomasi atau budi bicara buat mereka yang ingkar terhadap pematuhan SOP di negeri ini sebaliknya polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka.

Menurutnya bagi memastikan penguatkuasaan penuh dapat dijalankan sepanjang PKP 3.0, pihaknya mewujudkan pasukan khas pemantauan dan pematuhan membabitkan pegawai dan anggota berpakaian preman bagi memantau individu atau pemilik premis perniagaan.

“Terdapat 10 pasukan polis berpakaian biasa membabitkan 31 anggota dan seorang pegawai kanan bagi membolehkan tindakan mengeluarkan saman secara terus kepada mereka didapati melanggar SOP mengikut Peraturan-Peraturan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Pasukan ini juga akan melakukan pemantauan lebih kerap, dalam keadaan orang ramai tidak sedar mereka sedang diperhatikan supaya mereka lebih peka untuk tidak melanggar SOP ditetapkan,” katanya.

Menurut Razali, jumlah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini juga ditingkatkan kepada 16 bermula hari ini membabitkan 12 SJR secara statik manakala empat secara mobil (bergerak) dengan melibatkan penugasan seramai 1,001 anggota.

Beliau berkata pihaknya turut mempertingkatkan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memantau pergerakan orang ramai selepas pukul 8.00 malam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas