Berita

Kerani rugi lebih RM255,000 ditipu menang peraduan

- Diterbit 17 Mei 2021 6:16 AM MYT

SEORANG kerani kedai buku kerugian RM255,250 selepas terperdaya kononnya memenangi satu peraduan anjuran sebuah syarikat makanan terkenal, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata wanita berumur 25 tahun itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 17 April lepas yang memaklumkan memenangi peraduan bernilai RM3,300 sebelum diminta memasukkan wang pada hari sama, bagi mencukupkan nilai pada cek disediakan pihak syarikat makanan itu.

“Mangsa yang tidak membuat semakan terlebih dahulu telah membuat 52 kali pindahan wang ke lapan akaun bank berbeza secara deposit tunai di mesin juruwang automatik (ATM), kaunter bank dan pindahan wang melalui mesin ATM, keseluruhannya sebanyak RM255,250 antara 17 April dan 7 Mei lepas.

“Mangsa mula berasa curiga dan sedar ditipu apabila suspek berterusan memintanya membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata kerani berkenaan kemudian membuat laporan berhubung kejadian pada 10 Mei lepas dan polis kini sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan modus operandi jenayah komersial terkini melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/ dan https://www.facebook.com/JSJKPDRM/, katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas