Berita

Kerajaan larang syarikat perkapalan Israel, ZIM, berlabuh di Malaysia

Gambar hiasan
- Diterbit 20 Disember 2023 11:14 AM MYT

KERAJAAN memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat tersebut berkuat kuasa serta merta.

“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia. Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri memaklumkan Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.

“Selain itu, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia. Kedua-dua sekatan ini berkuatkuasa serta-merta.

“Saya yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas