Berita

Polis buka kertas siasatan kes pelajar sekolah didakwa dibuli

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Disember 2023 12:00 PM MYT

POLIS telah membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah di Cheras kerana didakwa dibuli pelajar lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 selepas ibu kepada remaja itu membuat laporan polis semalam.

“Kita (polis) akan memanggil semua pihak yang terlibat, mangsa, keluarga, rakan dan pihak sekolah untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat, siasatan baharu sahaja bermula sila beri kita sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ibu kepada pelajar lelaki berkenaan membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini, pada 11.16 pagi, semalam.

Pada 8 Disember lepas, pelajar itu ditemukan dalam keadaan lemah oleh ibu  bapanya dan guru sekolah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, beberapa jam selepas dilaporkan hilang dari asrama.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan kes bunuh seorang akauntan sebuah syarikat swasta yang ditemukan di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini 11 Dis lepas, Allaudeen berkata polis sedang memburu seorang suspek utama.

Beliau berkata reman dua rakan mangsa berusia 25 dan 35 tahun yang ditahan 12 Dis lepas akan tamat hari ini dan pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sama ada untuk menyambung perintah reman berkenaan atau tidak.

Mengulas mengenai indeks jenayah di Kuala Lumpur, Allaudeen berkata ia mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas.

Beliau berkata ia menunjukkan tahap keselamatan di ibu kota dalam keadaan terkawal serta selamat dan masyarakat tidak perlu takut untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur pada tahun ini, secara umumnya semua petunjuk prestasi utama Polis Kuala Lumpur telah berjaya dicapai.

“Sebagai contoh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah yang berjaya mendakwa hampir 70 peratus kes disiasat, lebih tinggi berbanding 45 peratus yang ditetapkan dalam KPI,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas