Berita

Abdul Rashid Hussain Pengerusi TH baharu

- Diterbit 20 Disember 2023 11:10 AM MYT

TAN Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Anggota Lembaga dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan Abdul Rashid adalah bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang tamat tempoh sebagai Pengerusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata Abdul Rashid adalah seorang ahli prniagaan berjaya yang telah mengasaskan Kumpulan RHB antara kumpulan perbankan terbesar di Malaysia.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pegerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998 selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga 2000.

“Abdul Rashid juga diantara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Naim, laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 hingga 2020 telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

Jelas Mohd. Naim, Abdul Rashid juga adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445 Hijrah/2023.

“Sesungguhnya pengalaman luas beliau sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan.

“Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Azman Mokhtar atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya warga TH,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas