Berita

Kerajaan jadi dalang scammer?

PENGGUNA Internet berisiko menjadi mangsa penipuan dalam talian
- Diterbit 8 Mac 2024 9:15 AM MYT

ISU penipuan dalam talian menjadi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah pihak kerajaan dan agensi berkaitan giat melaksanakan pelbagai langkah bagi mengatasi masalah yang semakin berleluasa ini.

Seiring perkembangan teknologi, modus operandi pihak scammer semakin menjadi-jadi. Statistik merekodkan sebanyak 107,716 kes jenayah tersebut antara tahun 2020 hingga 2023 melibatkan jumlah kerugian RM3.2 bilion.

Tiada yang terlepas daripada ancaman scam lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin canggih ini segenap lapisan masayarakat yang merupakan pengguna Internet adalah berisiko tinggi menjadi mangsa.

Kegusaran pelbagai pihak mengenai isu ini juga dalam masa yang sama membuatkan pihak yang suka menangguk di air keruh mengambil kesempatan mendakwa Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan antara penyumbang kepada berlakunya jenayah dalam talian.

Malah, kecoh di laman sosial mengatakan kerajaan merupakan dalang scammer kerana musykil berkenaan maklumat peribadi rakyat yang terlalu mudah diperolehi oleh pihak tersebut.

Terdapat juga ketidakpuasan di mana tiada sebarang tindakan agresif dijalankan setelah aduan dibuat mangsa seolah-olah pihak yang bertanggungjawab hanya lepas tangan.

Ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa kerajaan sedang merangka akta baharu bagi meningkatkan keselamatan digital serta membanteras isu ini sekali gus memastikan nasib mangsa terbela.

Akta berkenaan melibatkan ketetapan pihak bank di mana tidak boleh mengelak untuk bertanggungjawab sekiranya ia menjadi punca berlakunya penipuan dalam talian tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, baru-baru ini berpendapat pihak bank perlu bertanggungjawab.

“Bank tidak boleh mengelak daripada diambil tindakan. Jika ada mana-mana bank yang telah atau sedang buat demikian, rujuklah kepada agensi yang berkenaan.

“Rang Undang-Undang (RUU) yang sedang dikaji ini akan merangkumi semua aspek,” ujar beliau ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka – PH) mengenai RUU yang kini dalam peringkat penelitian.

Usah risau, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi bagi mengesan nombor telefon yang didapati terbabit dengan penipuan dalam talian.

Setakat Januari tahun ini, sebanyak 131 nombor talian ditamatkan kerana terbabit aktiviti penipuan dan 93 nombor talian meragukan telah disekat.

Nombor tersebut juga direkodkan dalam sistem semak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai panduan untuk orang awam membuat semakan sebelum meneruskan transaksi kewangan mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas