Berita

KEB 2024 tingkat ekonomi Bumiputera

KEB 2024 berjaya mengenengahkan pelan tindakan sesuai isu masa kini
- Diterbit 8 Mac 2024 9:10 AM MYT

KONGRES Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang baharu melabuhkan tirainya selepas tiga hari bersidang dilihat menjadi batu asas kepada Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merangkul kesatuan dan sokongan orang Melayu serta etnik Bumiputera bagi meningkatkan taraf ekonomi.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata KEB 2024 yang dianjurkan ini berjaya mengenengahkan pelan tindakan yang praktikal dan sesuai dengan isu-isu dewasa ini.

“Ia bukan kongres yang baru mahu mengenal pasti akan permasalahan atau isu-isu yang dihadapi oleh kaum bumiputera, tetapi kali ini para peserta sudah maklum dan mahukan cadangan-cadangan yang diutarakan kali ini tidak sekadar naratif di bibir sahaja kemudiannya dilupakan kembali selepas tamat KEB.

Jelas Aimi Zulhazmi, beliau melihat terdapat kesatuan dalam suara kaum bumiputera kali ini pada semua isu-isu yang dibentangkan seperti keusahawanan, pendidikan dan sebagainya yang sebelum ini berbeza dengan dahulu kerana terdapat isu-isu yang dikenal pasti namun tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari kaum bumiputera.

“Ia mungkin disebabkan suasana politik semasa membuatkan orang Melayu dan bumiputera yang lain sebulat suara menyokong apa-apa sahaja cadangan yang baik untuk perubahan ekonomi keseluruhannya,” katanya.

Menurut Aimi, sudah beberapa kali agenda yang sangat baik seumpama KEB 2024 dilihat cantik di atas kertas, namun yang paling utama adalah penyediaan insfrastuktur dalam memastikan program ini mempunyai hayat yang lama dalam memastikan objektifnya tercapai.

“Kita selalu diberitahu bahawa pelaksanaan hanya berjaya pada peringkat awal sahaja, namun malangnya model bisnes yang digunakan itu gagal untuk berdaya saing kerana tidak mempunyai sustainability.

“Ia mungkin kerana program sebelum ini diuruskan sebagai one-off projek sahaja oleh agensi pelaksana, mungkin juga kerana ada campur tangan ahli politik dan amalan kronisma, mungkin juga pendanaan yang tidak mencukupi dan tersasar daripada perancangan awal berikutan kenaikan kos operasi.

“Selain itu antara faktor kegagalan sebelum ini adalah tidak mempunyai keupayaan tenaga pakar ataupun kurang pengalaman dalam pengurusan, atau pun faktor-faktor lain yang diluar jangkaan atau diluar kawalan seperti bencana alam dan lain-lain lagi,” katanya.

Justeru itu, Aimi mencadangkan agar kerajaan perlu mewujudkan badan pemantau bebas daripada tekanan politik bagi menilai keberkesanan terhadap pelaksanaan beberapa inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penubuhan badan pemantau itu mestilah diberikan punca kuasa untuk membuat perubahan terutamanya membantu agensi pelaksana tersebut untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Anggota badan pemantau itu pula hendaklah golongan profesional yang tidak mempunyai kepentingan dan mestilah membuat deklarasi dengan badan-badan berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Selain itu, keanggotaan badan pemantau itu boleh di buka kepada orang awam serta pengamal media,” katanya sambil menambah laporan badan pemantau itu mestilah dibentangkan di Parlimen dan bukan hanya  kepada kabinet bagi meningkatkan keyakinan dan ketelusan seperti yang dimahukan rakyat yang mengundi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sosio-Budaya, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan penganjuran KEB2024 melahirkan impak yang positif khususnya dalam mengangkat agenda ekonomi bumiputera dalam negara ini.

Ujarnya Orang Melayu/ bumiputera berasa Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah wadah terbaik untuk membawa kemajuan  dalam berdepan kompleksiti cabaran ekonomi bumiputera masa kini.

“KEB2024 mempunyai  perbezaan dengan program-program seumpama sebelum ini kerana disesuaikan dengan perubahan zaman, teknologi dan keperluan sebenar kelompok bumiputera dan dirancang lebih teliti dan mendalam melalui libat urus, simposium, bengkel dan sebagainya,” katanya.

Awang Azman berkata antara perkara utama dan signifikan untuk melonjakkan ekonomi bumiputera ialah peruntukan dana berjumlah RM1 bilion­ bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Selain itu penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta yang menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun dan penyediaan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor seperti penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu khususnya pendigitalan, peralihan tenaga dan teknologi,” katanya.

Ujar beliau, untuk memastikan kesemua program yang direncanakan ini berjaya adalah bergantung kepada sikap dan  penerimaan usahawan bumiputera sendiri dalam menentukan kejayaan.

Katanya lagi,  selepas beberapa pengumuman Perdana Menteri itu, ia akan membawa momentum semangat dan dapat menarik lebih ramai kaum bumiputera termasuk Sarawak dan Sabah serta Orang Asli dalam meningkatkan penyertaan menerusi keusahawan kerana terdapat jurang besar tempoh kongres ekonomi bumiputera sebelum ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas