Artikel

5 tahun lalu, adakah kita belajar?

AKHBAR Wilayahku kini merangkumi berita seluruh negara
- Diterbit 8 Disember 2023 4:00 AM MYT

Oleh Zukifli Sulong

LIMA tahun lalu, saya telah bertanya secara bersemuka kepada Perdana Menteri yang baru memegang jawatan beberapa minggu ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, tentang sikap beliau terhadap media.

Saya mengajukan soalan ketika kami penggiat media yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dipanggil bertemu dengan beliau di Yayasan Albukhary, yang terletak berhampiran dengan Masjid Negara.

Dalam pertemuan itu, saya berkata, apabila sesebuah kerajaan bertukar, perkara pertama yang dibuat oleh kerajaan yang baru mengambil alih kuasa adalah menguasai media. Apa pula sikap Kerajaan PH ini terhadap media?

Tun dengan tegas berkata beliau akan membebaskan media bergerak tanpa sebarang kongkongan atau penguasaan. Beliau tidak bercadang untuk meletak orang-orang kepercayaannya di mana-mana organisasi media hatta media kerajaan termasuk Bernama dan juga RTM.

Hasilnya, Kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir jatuh selepas hanya 22 bulan berkuasa.

Kerajaan PH tidak mampu menguasai pemikiran rakyat kerana kerajaan tidak menguasai media, manakala pemain media sosial yang menyokong PH juga tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan yang tidak mahu menguasai media dan tidak memberikan apa-apa tempat untuk mereka berfungsi.

Akibatnya mereka merasa tidak diraikan bahkan merasa mereka tidak diperlukan apatah lagi dihargai.

Lalu jadilah mereka umpama pontianak tanpa tuan.

Penggiat media sosial PH lah yang memulakan kempen ‘kerajaan sepenggal’ yang selepas itu disambut oleh laskar siber daripada PAS dan UMNO ketika itu.

Kesempatan inilah yang diambil oleh pengkhianat PH ketika itu dan tertubuhlah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas BERSATU keluar daripada kerajaan dan bekerjasama dengan PAS dan UMNO.

Lima tahun dahulu, ketika saya diamanahkan untuk menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, saya telah mengusahakan penubuhan akhbar ini. Ia dilakukan selepas mengambil kira sikap pemimpin kerajaan ketika itu.

Dengan persetujuan menteri dan kerjasama penuh pegawai kanan kementerian ketika itu, Wilayah Media Sdn Bhd telah berjaya ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Selepas itu, permit untuk Wilayahku telah berjaya diperolehi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lahirlah akhbar ini. Apabila YWP membuat penyelarasan terhadap branding dan anak-anak syarikatnya, Wilayah Media ditukar kepada YWP Media Sdn Bhd.

Selepas lima tahun saya kembali ke sini. Saya kembali sebagai penulis kolum ini. Insya-Allah, jika tidak ada sebarang masalah dan gangguan, saya akan mengisi kolum ini pada setiap keluaran akhbar ini mulai hari ini.

Ketika syarikat media ini ditubuhkan dan akhbar ini diterbitkan, wawasan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah jelas, untuk menjadi sebuah syarikat media milik kerajaan yang besar dan setaraf dengan syarikat media utama yang lain.

Kami mahu, kerajaan membiayai dan menguasai satu syarikat media yang setaraf dengan kumpulan Media Prima, The Star dan lain-lain. Penerbitannya pula bukan sekadar media cetak tetapi juga video yang memenuhi semua media sosial dan jika perlu mempunyai stesen TV dan radio sendiri.

Naratif kerajaan

Pendek kata, kita mahu naratif kerajaan ketika itu dapat disampaikan kepada rakyat termasuk kakitangan kerajaan dengan baik. Bukan setakat ada sahaja tetapi tidak sampai kepada rakyat sebagaimana apa yang berlaku kepada banyak naratif kerajaan sekarang.

Saya dan rakan usahakan perkara itu selaras dengan sikap Perdana Menteri waktu itu yang mahu media yang ada dibebaskan dan kerajaan tidak mahu mengawalnya. Untuk membantu menyelesaikan isu penyampaian naratif kerajaan, kita bina syarikat ini.

Ketika itu, kami hanya bernaung di bawah satu kementerian sahaja kerana Pengerusi YWP, dengan kehendak perlembagaannya, adalah Menteri Wilayah Persekutuan.

Kini menteri yang menjadi Pengerusi YWP adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri selepas Kementerian Wilayah Persekutuan dibubarkan. Kalau selama ini ruang lingkup dan kerja syarikat ini hanya terkongkong dalam Wilayah Persekutuan sahaja, kini ruangnya menjadi lebih luas.

Media ini tidak lagi bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan semata-mata tetapi Malaysia keseluruhannya kerana bos kepada syarikat media ini adalah Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada kesempurnaan perjalanan kerajaan Malaysia dan rakyat yang bernaung di bawahnya.

Kini sudah setahun, Kerajaan Perpaduan memimpin negara ini dengan jenama Malaysia Madani. Daripada pembangkang dan idola rakyat marhaen, Anwar sudah setahun menjadi Perdana Menteri.

Saban hari, Anwar membawa idea baru untuk rakyat. Pembangunan modal insan menjadi sasaran utama, bukannya membangunkan bangunan pencakar langit yang menjadi gerak kerja utama kerajaan sebelum ini.

Namun, apakah semua rakyat faham apa yang hendak dibawa oleh Kerajaan Madani ini?

Apakah tragedi rakyat tidak faham naratif yang hendak dibawa oleh Kerajaan PH dahulu akan berulang lagi dalam kerajaan ini?

Ini perlu dijawab oleh penggiat media yang diberikan kepercayaan oleh Datuk Seri Anwar untuk duduk di kerusi-kerusi empuk di keliling beliau.

Apakah Bernama dan RTM berjaya membawa dan menyampaikan naratif yang hendak dibawa oleh kerajaan?

Apakah media arus perdana yang mendapat dana jutaan ringgit melalui media buy berjaya menyampaikan naratif kerajaan?

Apakah penggerak media parti dalam Kerajaan Perpaduan diberikan peluang untuk membantu kerajaan menyampaikan naratifnya atau sekadar menjadi tetamu majlis-majlis rasmi kerajaan sahaja?

Ini semua perlu dijawab dan dibuat pembetulan jika ada berlaku kesilapan di mana-mana. Sebelum nasi menjadi bubur dan rakyat lebih percaya naratif yang dibawa oleh pembangkang daripada kerajaan, ia perlu diperbetulkan jika salah.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarang Harakah yang memimpin media PAS itu ketika zaman kegemilangannya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas