Berita

Penegasan nilai resolusi KEB 2024 langkah tepat

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Kongres Ekonomi Bumiputera di PICC, 2 Mac, 2024. - Kredit foto: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 8 Mac 2024 9:05 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan perlu melaksanakan penilaian berterusan terhadap dasar dan inisiatif yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang lalu.

Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) Datuk Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata penganjuran itu bertepatan dalam keadaan sekarang ini khususnya selepas pasca pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi di seluruh dunia yang turut menjejaskan Malaysia, serta penggunaan secara optimum ekonomi digital.

“Kerajaan telah membuat reality check terhadap kedudukan semasa bumiputera di dalam sektor ekonomi menerusi tiga dasar utama iaitu penguasaan bumiputera terutamanya dalam penyertaan ekonomi, pemilikan ekonomi dan ketiga adalah penguasaan ekonomi,” katanya.

Jelas Agil Faisal, objektif tersebut sebenarnya selari dengan dasar penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memberikan penumpuan supaya golongan bumiputera ini mendapat certain level of achivement dalam ketiga-tiga perkara yang dinyatakan tadi.

“Malangnya sehingga kini kita belum mendapat pencapaian selain daripada penyertaan yang bidang penguasaan dan juga pemilikan ini kita kurang.

“Jadi keperluan itu memang ada dan saya juga melihat ada juga kesungguhan politik untuk melaksanakan perkara ini dan ia tidak sekadar retorik seperti sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, jumlah yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengangkat agenda bumiputera mungkin telah melebihi RM1 trilion sejak daripada kongres yang pertama dan sememangnya mengambil masa bagi mewujudkan masyarakat perdagangan bumiputera.

“Tetapi inilah yang disebut sebagai proses  kerana memang kita perlu akui sebelum ini berlaku banyak ketirisan, kelompongan, birokrasi dan in to certain extent adalah korupsi yang membuatkan berlakunya siri kegagalan.

“Kita juga perlu melihat dari segi developement cost itu kerana kita ini boleh dikatakan adalah bangsa yang zero kerana ia ada berdasarkan kepada tahap pendidikan pada waktu itu.

“Oleh kerana Malaysia ini adalah negara kita dan agenda bumiputera merupakan agenda nasional maka kita tidak boleh give up terhadap perkara itu,” katanya.

Agil Faisal berkata menerusi ucapan penutup Perdana Menteri,  terdapat pendekatan berbeza iaitu tidak ada pengumuman yang klise bersifat retorik seperti penubuhan institusi baharu kecuali Suruhanjaya Pekerja Gig.

“Apa yang dilihat, beliau mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Tetap untuk memantau usul-usul yang telah dicadangkan dan mengikut kesesuaian kerana jika ditelusuri sejarah yang lalu, memang ada sikap melancarkan sesuatu namun tidak ada sebarang pemantauan.

“Selain itu Kerajaan Madani ini hendak memastikan pelaksanaannya serta akan ada penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi mengenal pasti sasarannya,” katanya

Kata Agil Faisal, semua pihak perlu menilai usaha tersebut dari sudut positif kerana kini adalah zaman digital ekonomi.

“Apabila adanya transformasi digital, kelebihan untuk tahap ketelusan ini lebih tinggi dan apa jua yang dilakukan oleh kerajaan dapat diketahui rakyat menerusi online, pendaftaran dan requirement kerana dahulu mungkin boleh minta tolong pegawai dan sekarang sudah tidak boleh kerana prosesnya telah didigitalkan.

“Dengan situasi seperti dinyatakan, maka saya lihat ada harapan untuk melihat bahawa ketirisan ini boleh ditangani dan ketelusan ini boleh dipertahankan dan ini merupakan kelebihan kongres pada kali ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ungkapan Perdana Menteri mengenai kalangan kaum lain sebagai anaknya adalah merujuk kepada affirmative action dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Contohnya isu kemiskinan tegar dan kita tidak boleh kira kerana siapa sahaja yang terbelenggu dalam kemiskinan tegar, kita mesti selesaikan dan tidak boleh ada yang dikecualikan.

“Bila disebutkan berkenaan affirmative action untuk kaum Bumiputera, contohnya melibatkan perkara biasiswa, pekerjaan dan lain-lain, ini juga adalah kelebihan yang harus diberikan sehingga bumiputera dapat keluar daripada masalah tersebut, jadi ia adalah dua pendekatan dan ia boleh mencakupi semua.

“Jadi untuk mengimbangkan dan yang dipanggil keadilan sosial, semua pihak harus akui bahawa Bumiputera adalah bangsa yang paling ramai terkesan dan jadi affirmative action itu akan menumpukan kepada bumiputera yang mana haknya telahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan usahawan selain bumiputera ke KEB2024, Agil Faisal menyambut baik pendekatan tersebut kerana ia dapat mengelakkan syak wasangka mana-mana kumpulan terhadap dasar melibatkan pemerkasaan bumiputera.

“Kita dapat lihat Dewan Perniagaan Cina menyatakan apa yang perlu dilakukan adalah untuk membangunkan ‘kek yang besar’  untuk kita keluar dan meneroka potensi pasaran antarabangsa.

“Sebagai contoh, industri halal, orang India muslim di negara India lebih ramai bilangannya daripada populasi muslim di Malaysia, malah mereka lebih ramai daripada Pakistan.

“Apa yang kita boleh buat bagaimana untuk bergabung sesama kita dan untuk menjadi satu pasukan yang boleh meneroka pasaran halal di India kerana sebelum ini kita juga mengimport daging kerbau dan bawang dari negara tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas