Berita

Karya Inche Lebah menjadi rebutan ramai

INCHE Lebah (duduk) bergambar kenangan bersama pembacanya yang terdiri daripada pelbagai golongan ketika sesi Meet and Greet di PBAKL 2022.
- Diterbit 11 Jun 2022 8:00 AM MYT

MULA dikenali melalui hantaran-hantaran video berintipatikan
motivasi dan kata-kata semangat di Instagram, kini karyanya sudah dibukukan dan sememangnya menjadi rebutan ramai terutama ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022).

Menggunakan nama Inche Lebah sebagai nama penanya, beliau mula melibatkan diri di dalam dunia penulisan sejak tahun 2016 dan telah menghasilkan sebanyak tiga buah karya bertajuk ‘Bangkit Daripada Sedih’, ‘Bangkit Wanita Bersedih’ dan ‘Bukan Mudah’.

“Saya merupakan bekas penulis Karangkraf dan selepas keluar saya terus mengeluarkan karya sendiri melalui Hamarae Group ini.

“Melalui penerbitan sendiri ini, kita juga memberi ruang buat penulis-penulis baru yang ingin menerbitkan karya mereka tersendiri,” kongsinya kepada Wilayahku.

Berkongsi berkenaan penglibatannya di PBAKL 2022, Inche Lebah berkata sejak hari pertama sehingga keempat penganjuran, ketiga-tiga karyanya mendapat sambutan menggalakkan yang ‘memaksa’ pihaknya melakukan restock berkali-kali.

Alhamdulillah dalam dua hari pertama pesta buku diadakan, karya kedua saya iaitu ‘Bangkit Wanita Bersedih’ dah sold out dan sehingga kini stok makin menipis tapi insya-Allah ia akan mencukupi sehingga tamatnya PBAKL 2022 ini,” katanya.

Inche Lebah turut berkongsi antara karyanya yang popular di kalangan pembaca adalah ‘Bangkit Daripada Sedih’ di mana pencetakan buku tersebut telah memasuki cetakan ketujuh sehingga hari ini.

“Di booth, kebanyakan pembaca akan mencari karya pertama saya iaitu ‘Bangkit Daripada Sedih’ dan sebahagian daripada mereka yang hadir ke booth memberi feedback positif terhadap buku tersebut.

“Idea asal buku ini adalah ketika pandemik melanda di mana ketika itu ramai yang sudah berputus asa, kemurungan, sedih dan sebagainya. Permulaannya saya hanya melakukan video berintikan kata-kata nasihat serta motivasi bagi memberi ‘cahaya’ semula kepada kehidupan orang lain.

“Buku yang dihasilkan ini sedikit sebanyak membantu menjawab setiap persoalan mereka yang sedang mengalami kesedihan dan kemurungan,” jelasnya sambil menambah simbolik di sebalik kulit buku karya pertamanya adalah diilhamkan dari K-Drama di mana episod sedih sering berlaku setiap kali turunnya hujan.

Tambahnya lagi, pada awal penerbitan, golongan sasaran adalah mereka yang mengalami masalah perhubungan namun hampir 70 peratus pembaca Inche Lebah merupakan mahasiswa dan mahasiswi serta golongan lain.

Justeru itu, Inche Lebah turut menzahirkan harapan agar karyanya dapat terus memberi motivasi kepada setiap pembacanya sama ada pelajar atau golongan ibu bapa.

“Sepanjang pesta ini berlangsung, ada ibu bapa yang datang berterima kasih di atas penerbitan karya saya kerana ia membantu anak-anak mereka keluar daripada kemurungan.

“Saya turut berharap setiap pembaca yang membaca hasil nukilan ini bakal menemui cahaya di penghujung terowong yang gelap,” ujarnya.

Buat para peminat Inche Lebah, anda berpeluang bertemu, berswafoto serta mendapatkan tanda tangan pengkarya hebat ini di sesi Meet and Greet yang diadakan sepanjang 10 hari (3 Jun – 12 Jun) bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC KL) pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas